PRK KIMANIS: ISU AHLI BN LOMPAT PARTI, Jangan Fitnah Kami PDM Bandau...

PRK KIMANIS: ISU AHLI BN LOMPAT PARTI, Jangan Fitnah Kami PDM Bandau Tidak Tutup!!

0
SHARE

MEMBAKUT, SABAH – “Saya ingin katakan kepada dia (Razali) bahawa ‘katak melompat, berudu tak akan melompat sama’.”

“PDM Bandau tidak pernah tutup, yang tutup hanya markas kecil. Jangan sesekali fitnah kami.”

Demikian tegas Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau, Nurliza Abdullah@ Richeal Mait selepas tular di media sosial kononnya PDM tersebut lumpuh dan ditutup susulan pengumuman seorang pemimpinnya yang mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai Warisan.

Nurliza Abdullah menafikan sekeras-kerasnya bahawa PDM Bandau masih ada dan tidak ditutup…

Malah menurut Nurliza, dakwaan Razali Daud yang mengatakan seramai 57 ahli BN turut menyertai Warisan adalah tipu semata-mata dan bertujuan melemahkan jentera parti.

“Saya Nurliza Abdullah, Ketua PDM Bandau yang sebenarnya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa PDM Bandau masih ada dan tidak ditutup.

“Kami di PDM masih lagi beroperasi dengan bantuan UMNO Batu Sapi, Tenom serta rakan-rakan dari Kuala Lumpur.

“Yang tutup itu hanyalah markas saja dan ia sebenarnya tidak diiktiraf kerana di belakang Razali adalah orang Warisan iaitu abang dia sendiri,” katanya pada sidang akhbar di PDM Bandau di sini, semalam.

Tegas beliau lagi, tindakan Razali itu yang merupakan Timbalan Ketua PDM Bandau memang sudah dijangka dan ia adalah satu permainan dari parti Warisan.

Tambahnya, dakwaan mengatakan 57 ahli yang keluar BN juga tidak benar.

“Ia fitnah, beliau keluar bersama isteri dan anak-anak saja. Lebih kurang lima orang…

“Lagipun, perancangan ini memang kami sudah jangka,” ujarnya.

Nurliza berkata, dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Razali itu dipercayai bertujuan untuk mencari kesempatan.

Sementara itu, calon BN, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah mereka yang dikatakan keluar parti itu adalah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah ahli Warisan yang meninggalkan parti berkenaan.

Datuk Mohamad Alamin…

Katanya, isu keluar parti ini juga hanyalah isu terpencil yang biasanya memang akan timbul ketika berlangsungnya pilihanraya.

“Saya ingat ini bukan markas utama, bukan semua keluar dan ia tidak jejaskan momentum parti. Ini hanyalah kes terpencil.

“Lagipun, sebelum ini lagi ramai ahli Warisan termasuk mereka yang berjawatan seperti Ketua Kampung telah keluar parti dan menyertai BN.

“Baru-baru ini, lebih 100 orang sertai BN,” katanya ketika ditemui ketika turun padang bertemu pengundi di kawasan PDM Binsuluk di sini, semalam.

Mohamad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan berkata, BN tidak panik dengan situasi ini kerana ia ada perkara biasa setiap kali adanya pilihan raya.

“Ini adalah asam garam dan warna warni politik, merupakan kes terpencil.

“Jelas ia tidak jejaskan BN malah beri kekuatan kepada parti untuk terus berjuang mengekalkan kerusi Kimanis,” tambahnya.

Semalam, seramai 57 ahli penyokong BN diketuai Timbalan PDM Bandau mengisytiharkan keluar dari BN dan menyertai Warisan kononnya telah hilang keyakinan terhadap BN.

Pada PRK Kimanis 18 Januari ini, Mohamad bakal ditentang calon Warisan, Datuk Karim Bujang dalam pertarungan dua penjuru.

Parlimen Kimanis mempunyai seramai 29,664 pengundi dengan undi awal berlangsung pada 14 Januari manakala 18 Januari sebagai hari pengundian.