PRK KIMANIS: “Saya Anak Didik Anifah, Sedia Terima Nasihat Demi Pembangunan Kimanis”...

PRK KIMANIS: “Saya Anak Didik Anifah, Sedia Terima Nasihat Demi Pembangunan Kimanis” – Calon BN Kimanis

0
SHARE
Datuk Mohamad Alamin...

BONGAWAN, KIMANIS – “Datuk Seri Anifah Aman ajar saya erti politik dan bagaimana menjadi ahli politik yang baik.”

Demikian luah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohammad Alamin yang turut mengakui sumbangan besar dan jasa bekas Ahli Parlimen Kimanis itu kepada rakyat Kimanis dan Sabah secara keseluruhannya.

Mohamad berkata, beliau turut terhutang budi kepada mantan Menteri Luar itu kerana banyak membentuk karier politiknya sehingga ke hari ini.

“Saya mengakui banyak jasa-jasa dan sumbangan Datuk Seri kepada Kimanis sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen di sini.

Datuk Seri Anifah Aman…

“Saya merupakan anak didik beliau. Beliau sebagai Ketua Bahagian UMNO, manakala saya sebagai Ketua Pemuda. Kami saling bekerjasama dan saling lengkap melengkapi,” katanya ketika ditemui selepas turun padang bertemu pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan di sini hari ini.

Mohamad yang merupakan bekas ADUN Bongawan akan ditentang calon dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam pertembungan dua penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Anifah kerana banyak mengajarnya erti politik yang sebenar.

“Dia mengajar saya erti politik dan asam garam politik selain bagaimana menjadi ahli politik yang baik…

“Saya akan terus berada disamping Datuk Seri dan akan menerima nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju sebagai calon Parlimen Kimanis, Mohamad yakin dapat membawa suara-suara rakyat Kimanis secara khususnya dan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“BN telah menjadikan Kimanis sebagai daerah dan pembangunan sedang rancak berjalan, bagaimapun rancangan itu tertangguh disebabkan BN kehilangan kuasa.

“Jika ada rezeki saya menjadi wakil kepada Kimanis di Parlimen, saya bukan hanya akan membawa suara orang Kimanis, tetapi lebih penting suara orang Sabah,” jelasnya.