PRK Port Dickson; Proses Penamaan Calon Bermula Jam 9 Pagi

PRK Port Dickson; Proses Penamaan Calon Bermula Jam 9 Pagi

0
SHARE

PORT DICKSON – Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Port Dickson akan bermula pukul 9.00 pagi ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada jumlah calon yang akan disahkan bertanding.

Proses penamaan calon akan berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson dengan tempoh masa satu jam diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi calon-calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dengan betul perlu dikemukakan kepada Pegawai Pengurus bersama pencadang atau penyokong dan proses itu akan tamat pada pukul 10 pagi.

Selepas membuat semakan, Pegawai Pengurus SPR seterusnya akan mengumumkan secara rasmi calon-calon yang layak bertanding kerusi itu.

Sebelum ini, beberapa pihak menyatakan hasrat untuk bertanding di PRK itu yang diadakan berikutan perletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lepas.

Tindakan Danyal Balagopal itu adalah bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu untuk kembali semula ke Dewan Rakyat.

Walaupun Anwar dilihat sebagai calon pilihan untuk memenangi kerusi itu berdasarkan keputusan beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini yang memihak kepada PKR, beberapa pihak telah mengesahkan akan menyaingi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar…

Dua parti politik iaitu PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum ini mengesahkan akan bertanding, dengan PAS memilih Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calonnya. Selain itu dua individu iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong turut dijangka mengambil bahagian sebagai calon Bebas.

Barisan Nasional pula sebelum ini mengumumkan yang ia akan memboikot PRK itu dengan tidak meletakkan calonnya kerana menganggap kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Anwar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Okt ini manakala pengundian awal pada 9 Okt.

Pada PRU ke-14 lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

– BERNAMA