Program Larian Santai Anjuran SPRM Dijadikan Sebagai Acara Tahunan

Program Larian Santai Anjuran SPRM Dijadikan Sebagai Acara Tahunan

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Program Larian santai anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau akan dijadikan sebagai acara tahunan sempena menyambut ulang tahun suruhanjaya itu pada masa akan datang, kata Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi.

Sazali berkata program larian santai diadakan di Tawau itu juga merupakan model terbaik dan penganjuran program seumpamanya akan diperluas ke daerah lain.

”Program santai ini adalah antara kaedah terbaik untuk SPRM mendekatkan diri dengan masyarakat dalam usaha menerapkan kefahaman tentang kepentingan seseorang individu menjauhkan diri daripada gejala rasuah,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian di sini, hari ini.

Program larian santai sejauh 7 kilometer dianjurkan sempena ulang tahun SPRM ke-51 itu bermula dan berakhir di Padang Bandaran Tawau melibatkan penyertaan lebih 500 peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Jimmy Wong dan Pembantu Menteri Infrastruktur negeri Datuk Abdul Muis Picho.

Terdahulu, Sazali ketika berucap berkata usaha membanteras gejala rasuah bukan tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan jenayah rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung sehingga ke akar umbi.

– BERNAMA