Proses Undi Awal PRK Sandakan Bermula Hari Ini

Proses Undi Awal PRK Sandakan Bermula Hari Ini

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan melibatkan seramai 270 pengundi awal terdiri daripada anggota polis bermula 8 pagi ini selepas dua pusat pengundian dibuka.

Pusat pengundian itu ialah Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan membabitkan 170 pengundi, yang dibuka sehingga 2 petang, manakala proses pengundian di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan 100 pengundi berlangsung sehingga 12 tengah hari.

Proses pengundian awal ini disaksikan oleh setiap ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya terdiri daripada wakil organisasi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang telah dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di samping SPR menyiarkan proses pengundian secara langsung menerusi laman media sosial Facebook SPR.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan DUN iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan  selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lepas, dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April)

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; anggota perniagaan Chia Siew Yung; dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

– BERNAMA