PRU14: Ahli dan Penyokong UMNO Digesa Tidak Panik Timbul Dakwaan UMNO Haram

PRU14: Ahli dan Penyokong UMNO Digesa Tidak Panik Timbul Dakwaan UMNO Haram

0
SHARE

KUALA PENYU, SABAH – Ahli dan penyokong parti dan UMNO digesa supaya tidak panik dengan dakwaan bahawa UMNO bakal diharamkan atas kesalahan pelanggaran dalam Akta Pertubuhan.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, sebaliknya, Umno masih berfungsi sebagai sebuah parti sah setelah diberi lanjutan masa oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mengadakan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi UMNO 2017.

Azizah yang pernah dilantik sebagai Majistret Kelas Pertama Wanita di Mahkamah Kota Kinabalu sebelum ini mendakwa ‘khabar angin’ itu adalah permainan parti pembangkang untuk menimbulkan keresahan anggota parti ini.

“Sedangkan hakikatnya RoS menerusi surat dialamatkan kepada Setiausaha Agung Umno sudah membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO diadakan selewat-lewatnya sehingga 19 April tahun depan.

“Saya berpendapat parti pembangkang terdesak kerana cuba untuk melemahkan kekuatan Barisan Nasional (BN) dengan cara menjatuhkan UMNO sebagai ‘tulang belakang’ BN selama ini.

“Justeru, semua ahli parti dan penyokong jangan panik, sebaliknya terus bekerja keras memastikan kemenangan lebih besar BN pada PRU14 ini,” katanya selepas merasmikan Program Jom Sulam Sira Lambung di Dewan Kampung Bundu, di sini pada Isnin.

Azizah yang juga penyandang kerusi Parlimen Beaufort berkata, usaha wanita kaum Tatana melalui Womens Council Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) itu menepati usaha kerajaan memelihara khazanah budaya etnik.

Beliau berkata, insiatif memperkenal sulaman paten ‘Sira Lambung’ iaitu baju tradisi wanita Tatana di kalangan golongan muda khususnya gadis Tatana mampu memastikan ia tidak hilang ditelan zaman.

“Paling menarik, teknik sulaman Sira Lambung ini bakal diperkenalkan di semua sekolah rendah di Kuala Penyu sebagai salah satu inisiatif untuk menjaga khazanah suku kaum Tatana untuk diwariskan kepada generasi baru.

“Saya menyambut baik dan menyokong usaha murni seumpama ini kerana jika bukan kita yang berusaha menjaga warisan budaya ini, siapa lagi?.Justeru, kita semua perlu pastikan usaha ini dicapaikan,” katanya.