PRU14: Aziz Bari Diingatkan Jangan Jadi Seperti ‘Samseng Jalanan’

PRU14: Aziz Bari Diingatkan Jangan Jadi Seperti ‘Samseng Jalanan’

0
SHARE
Prof Dr Abdul Aziz Bari...

IPOH, PERAK – Pemimpin UMNO bahagan Ipoh Timur menempelak tindakan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak menunaikan kerjanya sebagai pemimpin negeri Perak.

Ketua Bahagiannya, Datuk Azian Osman berkata, selaku calon baharu, Aziz wajar melaksanakan kajian terperinci sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan berhubung landskap politik kawasan Parlimen tersebut.

“Jangan datang ke tempat kami, dan berlagak seperti samseng jalanan, menghasut dan menuduh pemimpin kami,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Ipoh Timur.

Katanya, sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan mempunyai sedikit sebanyak ilmu dalam politik, Aziz tidak seharusnya sesuka hati mencemuh seorang pemimpin yang dipilih rakyat.

“Tak faham mengapa seorang yang terpelajar boleh mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang asas. Tanpa selidik dan bukti dan tiba-tiba bila sampai ke sini boleh cakap, ‘UMNO tidak pedulikan rakyat’.

“Sepatutnya, dia tanya pada wakil-wakil rakyat DAP yang telah 15 tahun berkuasa di sini, apa yang mereka buat? Apa yang mereka ambil tahu? Bukan sewenang-wenang tunding jari pada pihak yang tidak ada hubungkait,” katanya lagi.

Pada Isnin, Aziz yang juga pakar Perlembagaan dalam satu ceramah di DUN Tebing Tinggi mendakwa Zambry merupakan pemimpin pemalas dan tidak mengambil tahu kesusahan rakyat di kawasan DUN Tebing Tinggi walaupun telah dua penggal menjawat jawatan selaku menteri besar.

Calon PKR-DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi itu turut memberikan komen bahawa Zambry gagal memperkasakan hak dan kepentingan rakyat di Parlimen tersebut.

Dalam pada itu Azian juga berkata, pihaknya tidak menolak tindakan Aziz itu sengaja dilakukan bagi menanam kebencian rakyat terutama kepada Zambry yang diketahui antara menteri besar terbaik pernah mentadbir negeri.

“Kita tahu dan dia sendiri pun tahu sebenarnya, menteri besar sentiasa turun padang dan meneliti sendiri setiap kawasan yang memerlukan pelbagai kemudahan dan pembangunan termasuk di Parlimen Ipoh Timur dan DUN Tebing Tinggi itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Azian menegaskan bahawa segala cemuhan dan manipulasi tuduhan yang dilontarkan Aziz baik secara lisan, melalui media sosial atau secara berdepan hanya akan menjerat dirinya sendiri.

“Memang dia akan dikenali tetapi cara dia dikenali itu adalah daripada sudut negatif. Rakyat bukan bodoh untuk terima apa sahaja yang diperkatakan dan bagi kita, cara dia melontarkan tuduhan itu akan beri imej negatif pada dirinya selaku calon baru yang bertanding di sini,” katanya.

Tambahnya, berkenaan dengan gerak kerja parti di Perak, UMNO bersama parti komponen lain telah menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu sekaligus mengukuh sokongan masyarakat kepada Barisan Nasional (BN).