PRU14: GAUM Mulakan Siri Jelajah Ceramah Rakyat

PRU14: GAUM Mulakan Siri Jelajah Ceramah Rakyat

0
SHARE
Zulkarnain (depan, keempat dari kiri) serta yang lain ketika mengadakan jelajah di PDM Kg Mapan-Mapan di Pitas...

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) telah memulakan siri jelajah kempen berbentuk ceramah rakyat yang bertajuk “Tolak Shafie dan Tun Mahathir” di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg Mapan Pitas, Isnin lepas.

Kempen dengan kerjasama UMNO Bahagian dan Barisan Nasional yang dihadiri lebih 250 orang itu akan diadakan di seluruh Sabah.

Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata Objektif utama kempen itu adalah bagi memberikan penjelasan secara terperinci kepada orang ramai dengan fakta mengenai kegagalan Shafie membantu rakyat Sabah sepanjang lima tahun beliau menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW)

Zulkarnain berkata, dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion yang diberikan kepada KKLW di mana RM7.5 bilion dikhususkan untuk Sabah, sasaran membantu rakyat telah gagal dilaksanakan oleh Shafie.

“Ini terbukti apabila terlalu banyak jalan raya penghubung kampung ke kampung utama masih dalam keadaan amat daif. Kemudahan air bersih dan elektrik juga dalam keadaan yang amat mendukacitakan.

“Salah satu punca utama kegagalan Shafie ialah beliau telah memutuskan hubungan secara langsung dengan kerajaan negeri Sabah,” kata Zulkarnain.

Datuk Zulkarnain Mahdar…

Beliau menambah, kerajaan negeri dan pejabat daerah langsung tidak pernah dilibatkan oleh Shafie bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Natijahnya, masalah utama rakyat melibatkan jalan raya, air dan elektrik tidak dapat diselesaikan walaupun peruntukan sebanyak RM7.5 billion telah diperuntukan kepada Sabah,”  katanya.

Pertubuhan itu turut menyelar Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sehingga kini beliau belum lagi menjejakkan kaki ke Sabah walaupun Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diadakan pada 9 Mei ini.

“Bagaimana Tun mahu merealisasikan perjuangan membantu Sabah kalau Tun sendiri tidak pernah turun padang berjumpa dengan rakyat Sabah? Ini seolah-olah mengesahkan layanan berat sebelah Tun kepada Sabah semasa Tun masih menjadi Perdana Menteri,” kata Zulkarnain.

Beliau menambah, semasa 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, kehadiran beliau ke Sabah boleh dibilang dengan jari.

“Dibandingkan dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak), hampir setiap bulan beliau akan mengunjungi Sabah dan Sarawak dan hampir semua daerah di Sabah telah beliau kunjungi, termasuk Tambunan dan Semporna.

“Justeru melalui kempen ini, rakyat akan didedahkan mengenai bahaya mengundi Shafie dan Tun Mahathir kerana janji-janji untuk membantu Sabah amat meragukan memandangkan pengalaman lalu kedua-dua pemimpin ini jelas tidak memihak kepada rakyat di Sabah,” katanya.