PRU14: Kenyataan Media Fadillah Yusof

PRU14: Kenyataan Media Fadillah Yusof

0
SHARE
Datuk Seri Fadillah Yusof (Sumber Foto; FMT)...

KUCHING, SARAWAK – Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat dan YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, selaku Pengerusi Barisan BN Sarawak serta Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pimpinan parti diatas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen P194 Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

Ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu saya pikul sebaik mungkin. Saya berikrar tidak akan mempersia-siakan kepercayaan ini dan akan berkhidmat sebaik mungkin, jika terpilih sekali lagi untuk menjadi Ahli Parlimen di kawasan Petra Jaya pada pilihan raya kali ini.

Saya juga berterima kasih kepada penduduk P194 Petra Jaya di atas sokongan padu yang diberikan kepada saya selama bergelar wakil rakyat di Parlimen Petra Jaya dan berharap sokongan berterusan diberikan pada hari pengundian PRU-14 pada 9 Mei kelak, bagi membolehkan kita bersama-sama menerus dan merancakkan lagi agenda pembangunan di kawasan Parlimen Petra Jaya untuk tempoh 5 tahun lagi.

Komitmen saya kepada warga P194 Petra Jaya adalah untuk meneruskan kesinambungan pembangunan fizikal khususnya infra rakyat dan infra sosial termasuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik, mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta merancakkan lagi pembangunan modal insan, pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran di samping pembangunan sahsiah.

Kepada rakan-rakan seperjuangan dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang tidak mempertahankan kerusi masing-masing, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih. Sesungguhnya semangat perpaduan yang kukuh dan prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan diri menjadi nadi kekuatan PBB selaku tonggak BN Sarawak selama ini.

Penghargaan dan terimakasih kepada Tan Sri Dr Muhammad Leo Micheal Toyad (bekas Ahli Parlimen Mukah); Datuk Wahab Dolah (bekas Ahli Parlimen Igan); Datuk Dr James Dawos Mamit (bekas Ahli Parlimen Mambong; Datuk Ahmad Lai Bujang (bekas Ahli Parlimen Sibuti) dan Datuk Norah Tun Rahman (bekas Ahli Parlimen Tanjong Manis). Mereka adalah contoh terbaik pemimpin yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada parti, rakyat, negeri dan negara ini, namun telah memilih untuk berundur demi memberi laluan kepada muka baru untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti.

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Naib Presiden Kanan PBB
24 April 2018