PRU14: Khaled Sanggup Jadi Korban Kritikan Puad

PRU14: Khaled Sanggup Jadi Korban Kritikan Puad

0
SHARE
Sumber Foto; The Star

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau sanggup menjadi sasaran kritikan Datuk Mohd Puad Zarkashi yang tidak dipilih sebagai calon pada Pilihanraya Umum (PRU) ke 14.

Bagaimanapun, beliau juga mahu bekas Ketua Pengarah JASA itu tumpukan pada kerja parti bagi berdepan pilihanraya.

Khaled berkata demikian selepas Puad menyalahkan beliau semalam kerana tidak dicalonkan semula di Batu Pahat dan mendakwa pengerusi BN Johor itu hanya mencalonkan kroninya.

“Dia boleh cakap macam-macam tentang saya, hanya satu saya nak cakap – fokus kita adalah untuk menghadapi PRU.

“Sebagai pengerusi BN Johor, saya sanggup menjadi sasaran. Pukul seberapa dia nak, puaskan hati, tapi lepas itu kerja untuk parti. Itu saja,” katanya.

Khaled berkata beliau sanggup dipersalahkan selagi Puad tidak salahkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Puad dalam kenyataan di Facebook semalam mengulas berkenaan apa yang digelarkannya sebagai Team Khaled.

Khaled berkata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu seharusnya menyalahkan beliau dan bukannya calon lain.

Khaled, yang ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil ke atas Puad berkata bukan beliau yang layak membuat keputusan.