PRU14: Mahkamah Tolak Saman Minta PM Bentang Persempadanan Semula di Sabah

PRU14: Mahkamah Tolak Saman Minta PM Bentang Persempadanan Semula di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin menolak saman pemula yang memohon perintah mahkamah untuk memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya termasuk 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu di Sabah.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu pada prosiding di dalam kamar.

Peguam Yong Yit Jee yang mewakili kumpulan diketuai Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee selaku plaintif, berkata mahkamah menolak saman itu kerana ia tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang dan perlembagaan.

“Lagipun keputusan tersebut dibuat adalah bersifat akademik kerana ketika ini Parlimen sudah dibubarkan dan tiada sebarang persidangan dapat dijalankan.

“Bagaimanapun, pihak plaintif masih berpeluang menghantar petisyen ke Mahkamah Pilihan Raya selepas pilihan raya umum ke-14 tamat,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.

Pada 2 April lepas, kumpulan gabungan pemimpin pembangkang Sabah itu memfailkan saman memohon perintah mahkamah untuk memaksa perdana menteri membentangkan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sabah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat.

Dalam saman itu, perdana menteri dan SPR dinamakan sebagai defendan.