PRU14: Nurul Izzah Cadang Debat Terbuka Tun M dan Najib

PRU14: Nurul Izzah Cadang Debat Terbuka Tun M dan Najib

0
SHARE

PERMATANG PAUH – Calon PKR Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mencadangkan perdebatan terbuka antara Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak diadakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, cadangan itu adalah bagi membincangkan banyak perkara berkaitan nasib rakyat, terutama mengenai perihal pelaksanaan gaji minimum yang ditawarkan oleh BN dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, rakyat harus difahamkan dengan jelas tentang isu tersebut dan tidak boleh hanya dibacakan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri kerana itu tidak adil untuk rakyat yang mahu memilih.

“Saya sedih apabila perdana menteri sementara ambil peluang pilihan raya nak cakap kalau menang lagi, baru nak laksanakan gaji minimum…

“Pada saya, ini bukanlah kepimpinan yang kita mahukan. Kita harus konsisten dalam bab menaikkan tangga gaji pekerja.

“Memandangkan ada usaha-usaha untuk mencedok idea kita walaupun tidak menyeluruh, saya mencadangkan agar debat khas antara Tun Mahathir dan Najib diadakan,” katanya.

Menurutnya, fokus utama cadangan perdebatan itu adalah mengenai perihal pelaksanaan gaji minimum yang dijanjikan oleh BN berbanding apa yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan.

“Rakyat harus tahu bahawa apabila BN memotong subsidi kemudian melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), merekalah yang menaikkan inflasi dan membebankan ekonomi orang muda serta rakyat secara keseluruhannya.

“Maka yang terbaik adalah diadakan debat. Ini musim pilihan raya, kita kena tahu dengan jelas,” katanya.

Naib Presiden PKR itu turut mengingatkan Najib supaya tidak menakutkan rakyat kononnya hanya akan melaksanakan gaji minimum sekiranya mereka menang pada PRU14.

Sementara itu, calon PKR Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, cadangan debat antara calon perdana menteri dan perdana menteri bukan perkara baharu.

“Calon perdana menteri di England dan Amerika Syarikat juga berdebat. Ini menunjukkan bahawa kita pun nak jadi negara demokrasi yang terbaik di dunia.

“Nak buat di mana-mana pun boleh. Kita boleh sediakan tempat dan masa ikut kehendak beliau (Najib).

“Kita nak anak muda lihat apa tawaran BN berbanding Pakatan Harapan dari segi pekerjaan, gaji minimum, pendidikan, perumahan dan kesihatan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kadar kenaikan gaji minimum akan dinaikkan sekiranya BN menang pada PRU14.