PRU14: Pilih Parti Utamakan Kepentingan Belia – Yusof Apdal

PRU14: Pilih Parti Utamakan Kepentingan Belia – Yusof Apdal

0
SHARE
Datuk Mohd Yusof Apdal...

LAHAD DATU, SABAH – Golongan belia disarankan agar terus memberikan sokongan kepada parti yang mengutamakan kepentingan belia untuk menerajui negara.

Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata golongan belia adalah pewaris kepada kepimpinan negara.

Yusof berkata belia perlu membuat keputusan yang bijak bagi memastikan kepentingan belia terus diberikan perhatian dan terjaga.

Beliau mencadangkan agar belia membuat perbandingan antara kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dahulu dan kini, di mana dibawah kepimpinan kini, pelbagai usaha dilakukan demi membela golongan belia.

“Kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sentiasa memberi ruang dan peluang kepada belia…

“Pelbagai usaha dilaksanakan bagi membangun dan membina belia selain turut menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan golongan belia terus maju ke hadapan,” katanya, ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama 26 Pengerusi Persatuan dan Kelab Belia Akar Umbi, Isnin.

Menurut Yusof, usaha yang dilaksanakan oleh BN bukanlah bertujuan untuk meraih sokongan, tetapi atas keprihatinan kepada rakyat.

Katanya, belia sentiasa diberikan ruang dan peluang, termasuk dalam pembentukan dasar negara di mana ianya turut melibatkan suara dan pandangan golongan belia.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan belia. Oleh yang demikian, belia perlu menghargai kerajaan yang tidak mengabaikan kepentingan belia.

“Golongan belia perlu berganding bahu untuk mempertahankan kerajaan yang menjurus kepada kepentingan belia,” katanya lagi.

Yusof turut mengingatkan belia agar melihat secara keseluruhan dalam membuat pilihan dan memilih kerajaan yang boleh menjamin masa hadapan.

Tambahnya, sokongan perlu diberikan kepada BN, yang merupakan sebuah kerajaan masa depan.