PRU14: PKR Tanding 6 Kerusi Parlimen, 9 DUN di Sabah

PRU14: PKR Tanding 6 Kerusi Parlimen, 9 DUN di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – PKR akan bertanding merebut enam kerusi Parlimen dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew berkata enam kerusi Parlimen itu ialah Beaufort, Ranau, Tuaran, Putatan, Pensiangan dan Tawau.

Bagi kerusi DUN, parti itu akan bertanding di Inanam, Tempasuk, Kadamaian, Moyog, Karanaan, Matunggong, Tamparuli, Kuala Penyu dan Api-Api.

“Bagaimanapun, calon bagi kerusi DUN Moyog akan diumumkan pada Jumaat ini,” katanya pada pengumuman calon parti itu di sini pada Rabu.

Liew berkata beliau akan mempertahankan kerusi DUN Api-Api dan bertanding di Tawau bagi merebut kerusi Parlimen kawasan itu.

Parti itu turut mengetengahkan empat calon wanita dan dua calon muda iaitu Chrisnadia Sinam, 35, yang bertanding kerusi Parlimen Tuaran dan Raymond Ahuar, 33, di Parlimen Pensiangan.

Penyandang kerusi DUN Inanam Dr Roland Chia pula memutuskan untuk tidak bertanding.

Berikut adalah senarai penuh calon PKR Sabah bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini:

Parlimen: Christina Liew Chin Jin akan bertanding di Tawau, Johan @ Christopher OT Ghani (Beaufort), Jonathan Yasin (Ranau), Chrisnadia Sinam (Tuaran), Awang Husaini Sahari (Putatan) dan Raymond Ahuar di Pensiangan.

DUN: Kenny Chua Teck Ho akan bertanding di Inanam, Christina Liew Chin Jin (Api-Api), Mustapha Sakmud @ Mohd Yunus Sakmud (Tempasuk), Lukia Indan (Kadamaian), Chong Peck Hing @ Chong Poh Sing (Karanaan), Sazalye Donol Abdullah (Matunggong), Dausil Kundayong (Tamparuli), Dikin Musah (Kuala Penyu).

Calon bagi kerusi DUN Moyog dijangka diumumkan pada Jumaat.