PRU14: PM Ingatkan Pengundi BTR Jangan Pilih Pemimpin Suka Pindah Randah

PRU14: PM Ingatkan Pengundi BTR Jangan Pilih Pemimpin Suka Pindah Randah

0
SHARE
Sumber Foto; TheSunDaily

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pengundi di Parlimen P.124 Bandar Tun Razak agar memilih anak jati kawasan itu yang lebih memahami kehendak mereka.

Katanya memilih pemimpin yang terdiri dari anak tempatan adalah lebih baik daripada memilih orang yang lebih mementingkan agenda sendiri.

Berucap di Majlis Minum Petang Perdana Menteri bersama warga Bandar Tun Razak pada Selasa, beliau berkata, Pakatan Harapan, yang mencalonkan bekas ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar, hanya cuba menjadikan kawasan itu sebagai batu loncatan ke Dewan Rakyat.

“Pembangkang bukan pilih calon untuk berkhidmat, sebab itu dia pindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain, dari negeri ke negeri. Jadi tak boleh pakai orang macam ini. 

“Dia bukan ada hati perut, dia tak ada kasih sayang pada orang di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa geram kerana sudah dua penggal berlalu, dan BN masih gagal merampas kembali Bandar Tun Razak dari tangan pembangkang.

“Geram sebab lain geramnya. Sebab nama kawasan ini nama ayahanda saya (Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak). Macam mana tak jadi (milik) BN lagi, saya tanya kenapa, di mana silapnya,” katanya.

Namun untuk PRU kali ini, Datuk Seri Najib berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi bahawa Bandar Tun Razak akan kembali ke pangkuan BN.