PRU14: Putatan Membangun Di Bawah BN – Yahya

PRU14: Putatan Membangun Di Bawah BN – Yahya

0
SHARE

PUTATAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin, berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama-sama rakyat Putatan telah berjaya mentransformasikan Putatan menjadi sebuah daerah yang membangun.

Menurut beliau, kerajaan dan rakyat telah berjaya mengubah Putatan daripada hanya sederet kedai papan usang menjadi sebuah pekan maju dan membangun.

“Semua ini adalah berkat usaha Kerajaan BN bersama-sama dengan rakyat kawasan Putatan”, katanya ketika menghadiri Program Mesra Rakyat #Hebatkan Negaraku# di perkarangan Golden Centre Putatan, malam Sabtu lepas.

Program santai itu turut menampilkan penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie selain penyanyi-penyanyi tempatan lain.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata BN akan terus membangun kawasan Putatan dengan pelbagai rancangan pembangunan termasuklah membina lebih banyak Program Perumahan Rakyat, mewujudkan LRT, sistem pembentungan dan perparitan yang teratur, menaiktaraf padang bola, meningkatkan infrastrktur di kawasan tamu, mewujudkan institusi pengajian tinggi dan lain-lain lagi.

Beliau yang juga calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas menyeru rakyat agar terus menyokong BN dan tidak terpengaruh dengan slogan ‘Ubah’ yang dilaungkan oleh parti pembangkang.

Majlis itu turut dihadiri calon BN kawasan Tanjong Aru, Datuk Ir.Edward Yong, Timbalan Ketua Umno Bahagian Putatan, Datuk Haji Arsit Sedi, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Palasin dan pemimpin masyarakat setempat.