PRU14: Reformasi Keliru ‘Mahafiraun’ Dijulang

PRU14: Reformasi Keliru ‘Mahafiraun’ Dijulang

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tentangan, rasa benci, marah serta ‘meluat’ dengan pucuk pimpinan PKR dalam kalangan akar umbi khususnya ‘pejuang’ reformasi 1998 kini semakin memuncak dan tidak dapat disorokkan lagi.

Masakan tidak, individu yang sepatutnya ditentang habis-habisan sejak bermulanya era reformasi dahulu sehingga digelar mahafiraun, mahazalim dan ‘bapa perompak negara’ kini ‘dijulang’ oleh pemimpin tertinggi parti sebagai calon Perdana Menteri.

Bertambah meloyakan bagi mereka adalah simbol ‘mata lebam’ Datuk Seri Anwar Ibrahim pada lambang PKR kini dibenarkan pula untuk digunakan oleh individu berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Rata-rata akar umbi PKR keliru dengan pucuk pimpinan parti. Dahulu berarak di ibu kota menentang kezaliman Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi menjelang PRU-14, segala dosa lampau dilupakan demi mengejar kuasa.

Terbaharu, bekas Ketua AMK Cabang Kapar, Ahmad Kamarudin umum keluar parti selain menegaskan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bagi menentang Datuk Seri Azmin Ali yang suatu ketika begitu lantang melaungkan rasa ‘jijik’ dengan ‘permainan’ si mahazalim.

Tegas Ahmad, PKR sudah tersasar jauh daripada perjuangan reformasi…

“Dahulu kita lawan (Mahathir), kita kata mahafiraun sehingga tertubuhnya PKR. Akhirnya, PKR mahu angkat dia (Mahathir) hendak jadi Perdana Menteri pula dan menggunakan logo PKR,” jelasnya.

Beliau yang kini menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut mempersoalkan dan menuntut jawapan siapakah yang berada di pihak benar khususnya dalam pergolakan 1998.

Hal demikian kerana Mahathir yang jelas didakwa penipu, perompak dan pencuri harta negara serta segala jenis cacian terhadapnya bagaikan ‘kembali suci’ apabila menyertai blok pembangkang.

Ahmad merupakan antara ahli akar umbi PKR yang berani tampil menentang kepalsuan perjuangan PKR.

Selepas ini, mungkin ramai lagi yang akan bangkit menentang ‘drama menjijikkan’ yang ditampilkan oleh pucuk pimpinan parti sehingga sanggup ‘membunuh’ perjuangan reformasi.

Perjuangan reformasi 1998 kini sudah memasuki tahun ke-20. Tahun ke-20 pula menyaksikan perjuangan itu bagaikan ‘diludah’ dan ‘dibakul sampahkan’ begitu sahaja.

Kasihan pejuang reformasi 1998!…