PRU14: Tidak Datang Bukan Kerana Tidak Sayang Sabah – Shafie

PRU14: Tidak Datang Bukan Kerana Tidak Sayang Sabah – Shafie

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Tun Mahathir Mohamad tidak datang ke Sabah ketika kempen pilihan raya atas nasihat Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Kedua-dua mereka bersetuju bahawa bekas Perdana Menteri itu yang kini pengerusi Pakatan Harapan harus memberi tumpuan terhadap perjuangan pilihan raya di semenanjung Malaysia sementara Shafie melaksanakan tugas itu di Sabah.

Shafie mengakui bahawa beliaulah yang menasihati Mahathir agar tidak datang ke Sabah kerana ada banyak kerusi UMNO di semenanjung Malaysia yang beliau perlu beri tumpuan…

“Bukannya dia tidak sayangkan rakyat Sabah. Saya berikan dia pandangan saya dan beritahu dia bahawa dia harus meluangkan lebih banyak masa di semenanjung Malaysia kerana ada banyak kerusi UMNO di sana berbanding di Sabah,” katanya.

Beliau mengulas satu kenyataan baru-baru ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata beliau (Najib) datang ke Sabah lebih kerap berbanding Mahathir kerana beliau prihatin terhadap negeri ini.

“Jika dia sayangkan Sabah, kenapa dia tidak berkempen di sini pada pilihan raya ini? Bagaimana untuk menjadi PM?” Najib dipetik sebagai berkata ketika bertemu penyokong-penyokong Barisan Nasional di Penampang, hujung minggu lepas.

Shafie menambah, selain masa terhad, Mahathir juga tidak mempunyai sumber untuk membantu kempen pembangkang di Sabah.

“Tidak mungkin dia boleh menyewa sebuah helikopter. Dan agak berat bagi beliau untuk membuat perjalanan menggunakan jalan raya dari Kota Kinabalu ke Pensiangan. Saya lebih muda, jadi tiada masalah untuk saya. Kerana itu, adalah lebih baik jika dia memberi tumpuan kepada semenanjung Malaysia sementara saya fokus di Sabah,” tambah Shafie.

– Leonard Alaza