PRU14: Wan Azizah Umum Shafie Bakal Ketua Menteri Sabah

PRU14: Wan Azizah Umum Shafie Bakal Ketua Menteri Sabah

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertindak biadab mendahului perkenan Yang di-Pertuan Agong apabila mengumumkan tiga calon parti itu bakal menjadi menteri.

Memetik kenyataan MyNewsHub.cc, kali ini penyakit sama melanda Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mengumum Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai bakal ketua menteri baharu.

Lucunya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 belum berlangsung namun, pengumuman dibuat di hadapan penyokong mereka itu sengaja dibuat pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) dan Warisan di Kota Kinabalu semalam.

Dalam ucapannya, Wan Azizah yang juga Presiden PH dilaporkan media cuba ‘hasut’ warga Sabah supaya menerima apa sahaja kemudahan dan manfaat yang diberikan oleh pihak kerajaan sedia ada, Barisan Nasional (BN).

Namun pada PRU ke-14 yang diadakan pada Rabu depan, rakyat negeri ini digesa mengundi calon PH dan Warisan bukannya parti-parti komponen BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa sahaja yang Najib sumbangkan kepada Sabah, kita ambil kerana orang sudah memberi kenapa kita perlu menolak?  Bagaimanapun, perlu ingat pada pilihan raya umum nanti pastikan anda pilih kami (PH dan Warisan).

“Sudah tiba masanya kita tumbangkan BN. Kita ubah Sabah,” kata Wan Azizah yang turut dikutuk netizen apabila terpaksa ‘lompat’ kerusi dari Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang ke Pandan, Selangor untuk PRU ke-14 kali ini.

Sementara itu, Mohd. Shafie yang tegar ‘mengangkat’ sentimen kenegerian sebagai retorik parti Warisan seakan-akan hilang modal apabila berulang kali membangkitkan isu yang sama dalam ucapan kempen politik beliau.

Antaranya ialah 1MDB, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta mempertikaikan pelantikan individu dari Semenanjung untuk mengisi beberapa jawatan perkhidmatan awam di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain Wan Azizah dan Mohd. Shafie, ceramah yang bermula hambar pada pukul 8 malam itu turut dihadiri oleh Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.