PRU14: Warisan Persoal Kesungguhan BN Tingkatkan Keselamatan

PRU14: Warisan Persoal Kesungguhan BN Tingkatkan Keselamatan

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

TUNGKU, SABAH – Kesungguhan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menerajui kerajaan dipersoalkan dalam memperjuangkan aspek keselematan rakyat, khususnya di Tungku.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) di bahagian Tungku, Assafal P Alian berkata perjuangan aspek keselamatan di kawasan ini hanyalah satu sandiwara yang ditayangkan untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya, sejak peristiwa pencerobohan di Tanduo pada tahun 2013, perkembangan dan pembangunan di kawasan ini telah terbantut.

Kawasan ini, katanya, menerima kesan langsung termasuk dari segi penurunan pelaburan luar selain menghakis keyakinan pelabur untuk bertapak di sini.

“Pengumuman untuk membina sebuah kem tentera telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri…

“Janji ini sentiasa dicanangkan dalam ucapan beliau dalam lawatan ke mana-mana kawasan di Sabah, namun hakikatnya, semua ini hanyalah sandiwara,” katanya, dalam satu kenyataan, Isnin.

Menurut Assafal, pembinaan fasa 1 bagi projek ini merangkumi kerja-kerja menaiktaraf sebuah kolej yang akan digunakan sebagai pusat kordinasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan pembinaan sebuah kem tentera di Felda Sahabat.

Pembinaan kem tentera ini turut dicanangkan dalam manifesto BN, namun sehingga kini, katanya, sebatang paku tidak kelihatan di tapak projek berkenaan.

“Kawasan yang dicadangkan untuk pembinaan kem tersebut masih dipenuhi dengan pokok sawit dan kita juga dapat lihat aset ketenteraan kita tidak dijaga dan diurus dengan baik.

“Sampai bila rakyat perlu menunggu dan berapa ramai lagi pelabur perlu menarik diri sehingga memberi kesan kepada ekonomi serta rakyat,” soalnya.

Oleh yang demikian, kata Assafal, BN seharusnya menjelaskan perkara ini dan berhenti bermain sandiwara kerana keselamatan adalah hak asasi.