PRU14: Wetron Sokong Keputusan Ketua Menteri Sabah Dalam Penentuan Calon Parlimen Dan...

PRU14: Wetron Sokong Keputusan Ketua Menteri Sabah Dalam Penentuan Calon Parlimen Dan DUN Di Kota Marudu

0
SHARE
Datuk Wetrom Bahanda...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda berkata beliau akur dengan keputusan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dan UMNO bahagian itu akan memberi sokongan penuh kepada siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Marudu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Wetrom berkata bahawa beliau akan menggerakkan semua anggota dan jentera pilihan raya UMNO Kota Marudu bagi memastikan BN memenangi semua kerusi di kawasan berkenaan pada PRU14.

“Apapun keadaannya, kami akan menyokong siapa juga calon Barisan Nasional (BN) di Kota Marudu. Itu jelas. Hari inipun saya sudah jelaskan dengan Ketua Menteri (Musa), apapun keadaan, UMNO Kota Marudu akan pastikan semua calon kita akan menang,” katanya.

Wetrom berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas beliau menemui Musa yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah di Sri Gaya di sini pada Jumaat.

Isu kerusi DUN Matunggong yang merupakan kuota Parti Bersatu Sabah (PBS) timbul apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika lawatannya ke Kota Marudu baru-baru ini mencadangkan supaya DUN Matunggong ‘dipinjamkan’ kepada UMNO bagi memastikan majoriti kemenangan BN di kawasan itu meningkat.

“Sejak lawatan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, saya belum pernah membuat kenyataan meskipun kami dihentam. Cuma saya ingin jelaskan di sini bahawa UMNO Kota Marudu tidak pernah tikam kawan dari belakang. Apapun keadaan, kami akan sokong siapa juga calon Barisan Nasional di Kota Marudu,” katanya.

Apa yang berlaku baru-baru ini jelas Wetrom ialah cadangan pemimpin pusat untuk meningkatkan jumlah majoriti atau menang besar untuk DUN Matunggong dan Parlimen Kota Marudu.

“Itu formula yang dicadangkan. Itu cuma cadangan. Kalau tidak diterima tidak apa. Itu biasa dalam politik.Mungkin pada pihak PBS seolah-olah sudah diluluskan.

“Tetapi selepas diputuskan bahawa ini masih untuk PBS, kami tidak ada cara lain, kami kena ikut status quo, saya sebagai Ketua UMNO Bahagian akan arahkan jentera kami untuk bekerja untuk memastikan semua (calon BN) menang,” katanya.

Justeru Wetrom, menegaskan bahawa kini tidak timbul isu UMNO akan sabotaj atau tidak menyokong calon BN Kota Marudu pada PRU14 dan meminta semua anggota UMNO Kota Marudu agar bekerja keras menyokong calon BN.

Wetrom juga menegaskan bahawa parti pembangkang adalah musuh BN dan tidak sesekali akan berkompromi dengan mereka.