Pukul Pengawal Keselamatan, Hukuman Terhadap Pelawak Lan Pet Pet Bakal Ditingkatkan

Pukul Pengawal Keselamatan, Hukuman Terhadap Pelawak Lan Pet Pet Bakal Ditingkatkan

0
SHARE

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Pelawak senior Mazlan Ahmad yang lebih dikenali Lan Pet Pet bakal menerima hukuman yang ditingkatkan selepas insiden pelawak senior tersebut memukul seorang pengawal keselamatan berusia 68 tahun yang bertugas di taman perumahan Acacia Park Desa Jati.

Menurut sumber, pengawal keselamatan Yahya Manap, 68, yang dicederakan pelawak Lan Pet Pet telah menghantar permohonan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk merayu agar hukuman yang diterima pelakon itu ditingkatkan.

Peguam yang mewakili Yahya, Ahmad Ishrak Ahmad memberitahu para pengamal media hari ini, bahawa permohonan itu telah dikemukakan pihaknya kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 petang, semalam selepas anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang mengenakan denda RM2,000 terhadap Mazlan, 49, Isnin lepas.

“Anak guam saya mengalami kecederaan yang agak teruk dan amat terkilan dengan keputusan berkenaan. Kami berasa amat terkilan dengan hukuman yang dikenakan ke atas OKT tersebut memandangkan ianya adalah terlalu ringan dan tidak setimpal dengan faktor pemberatan yang wujud dalam kes ini.

“Kami memohon Timbalan Pendakwa Raya dan Custodian of Public Interest mempertimbangkan untuk memfailkan Notis Rayuan terhadap hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi Seremban supaya hukuman dapat ditambah,” katanya.

Pada 15 April lepas, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Nilai.

Majistret Mayon Yusof mengenakan denda berkenaan selepas pelakon itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 6 April lepas.