Pusat Anti Berita Palsu Yang Pertama Bakal Ditubuhkan Di Thailand

Pusat Anti Berita Palsu Yang Pertama Bakal Ditubuhkan Di Thailand

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Pusat Anti Berita Palsu yang pertama bakal ditubuhkan di negara ini bagi membanteras berita tidak benar, kata menterinya hari ini dalam langkah terbaru negara Asia memantau keselamatan siber.

Menteri Masyarakat dan Ekonomi Digital, Buddhipongse Punnakanta yang dipetik AFP berkata bahawa pusat terbabit akan mula beroperasi pada Jumaat depan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan melatih pemantau bagi menandakan siaran mengenai segala-galanya daripada kesihatan hingga ke dasar kerajaan.

“Setiap negara berdepan isu berita palsu…terutamanya rakyat Thailand,” katanya selepas menjelaskan inisiatif Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha, di sini.

Tambahnya, hampir 80 peratus siaran di media sosial adalah palsu atau mengelirukan.

Pusat baharu ini akan mempunyai halaman Facebook, Line dan laman web di mana contoh penemuan berita terbabit akan disiarkan dan pengguna boleh menghantar sedikit maklumat mengenainya.

Sementara itu, penyelidik kanan Human Right Watch (HRW), Sunai Phasuk berkata, pusat terbabit hanyalah satu lagi alat tapisan.

“Kebebasan bersuara di Thailand semakin disekat pada masa akan datang,” katanya.