Rakyat Malaysia Jangan Kongsi Berita Yang Tidak Sah – Lee Lam Thye

Rakyat Malaysia Jangan Kongsi Berita Yang Tidak Sah – Lee Lam Thye

0
SHARE
Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu menahan keinginan berkongsi berita yang tidak disahkan menerusi platform media sosial seperti WhatsApp, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata sejak 2017 apabila pihak berkuasa mula memantau berita palsu, 11,000 aduan diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Portal suruhanjaya itu Sebenarnya.my menerima tidak kurang daripada 203 juta hit daripada orang awam yang bimbang sama ada item berita tertentu benar atau palsu dan itu mungkin bukan mencerminkan keadaan sebenar.  Antara berita palsu yang disebar meluas ialah isu berkaitan kerajaan, jenayah, kesihatan, penggunaan dan keselamatan,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam yang dipetik Bernama.

Lee berkata berita palsu juga menghakis keyakinan terhadap media berita tradisional dan serius contohnya surat khabar, radio dan televisyen.

“Ia juga meletakkan beban tidak sepatutnya ke atas wartawan yang terpaksa menapis dan mengesahkan kebenaran peristiwa itu sebelum menerbitkannya sebagai berita benar.  Ini merupakan beban yang tidak sepatutnya ke atas mereka yang bekerja keras memastikan orang awam mendapat maklumat yang betul,” katanya.

Beliau berkata berita palsu merupakan satu penyiksaan dalam kehidupan moden yang tidak akan berakhir dalam masa terdekat dan apa yang penting orang awam tahu bagaimana untuk hidup berhadapan dengannya dan tidak tertipu olehnya.

“Kami sudah ada COVID-19, masalah ekonomi, perubahan cuaca dan isu-isu lain yang memenuhi minda dan tenaga kami, tanpa perlu membazirkannya ke atas berita palsu…

“Jika berita itu bunyinya pelik, semak dengan beberapa laman sesawang semakan fakta dalam internet. Bagi berita yang dihasilkan di Malaysia semak dengan Sebenarnya.my dan apabila portal ini mengatakan berita itu palsu, padamkannya serta-merta,” kata beliau.