Ramai Wakil Rakyat Pembangkang ‘Cabut Lari’?

Ramai Wakil Rakyat Pembangkang ‘Cabut Lari’?

0
SHARE
Nurul Izzah (Kiri), Lim Kit Siang (Kanan)

Dengar khabarnya, ramai penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari parti-parti dalam Pakatan Harapan cabut lari bertanding kerusi di luar kawasan mereka.

Mereka yang kononnya dalam `takut tak bersebab’ kerana terlalu dimomokkan dek persempadanan bahagian pilihan raya lebih memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), mula mencatur `masa depan’ sendiri.

Malaysia Kini 2.0 difahamkan, yang paling diselubungi kebimbangan ialah wakil-wakil PKR yang sedar PRU kali ini merupakan bebanan paling hebat terpaksa dilalui mereka kerana persaingan  dengan BN nanti akan `dikacau’ oleh PAS.

Dengan pertandingan tiga penjuru yang harus ditempuh oleh calon-calon PKR, peluang untuk mereka mengekalkan kerusi dijangka sukar kerana jentera pakatan pembangkang dalam PRU-13 dahulu khususnya di Selangor dan Pulau Pinang banyak bergantung kepada PAS.

Apa lagi yang paling banyak bergantung harap pada PAS yang disingkirkan daripada pakatan pembangkang pada 2016 adalah PKR sendiri.

Setakat hari ini yang hampir pasti mengosongkan kerusi untuk berpindah bertanding di kawasan Parlimen baharu ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Lim Kit Siang (Gelang  Patah).

Di Lembah Pantai, Nurul Izzah dikatakan tidak boleh lagi `angkat muka’ dengan bakal calon BN di situ, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Raja Nong Chik yang kalah lebih 1,000 undi kepada Nurul Izzah tempoh hari,  bukanlah orang baharu di Lembah Pantai. Membesar dan berkahwin pun dalam kawasan itu.

Realitinya sejak menang pilihan raya umum 2013 lagi kelibat Nurul Izzah jarang berada di Lembah Pantai. Tapi hanya rajin sedikit apabila dekat pilihan raya – seolah-olah pengundi Lembah Pantai ini ‘buta’.

Maka tak hairanlah andai benar khabar Nurul Izzah mahu berpindah kawasan.

Tindak tanduk Nurul Izzah mirip gelagat Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang gemar bertukar kawasan baharu.

Lima negeri, tujuh kerusi Parlimen dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dijelajahi veteran DAP berusia 77 tahun ini sejak 1969.

Setiap kali masuk musim pilihan raya umum (PRU), Kit Siang sibuk menjengah kawasan baharu untuk ditan­dinginya. Dengar cerita untuk PRU-14 nanti, Kedah dan pangkalan lamanya, Pulau Pinang menjadi sasarannya.

Barangkali Kit Siang cukup maklum dan mengerti penyokong Cina DAP tidak bersifat ‘kedaerahan’. Sebaliknya terarah ‘federalisme’. Dari aspek memahami psikologi penyokong tegarnya, Kit Siang mungkin menang.

Cuma, kalau benarlah Kit Siang ini ‘hebat’ dan mahu menyer­lahkan sifat ‘persekutuan’nya, kenapa ha­nya bertanding di kawasan majoriti Cina? Mengapa tidak di kawasan pengundi bercampur (50-50 pengundi Cina dan Melayu).

Alasan Kit Siang sebelum ini dari gelagat ‘pindah-randah’ bertanding kononnya ‘sebagai satu strategi kerana DAP mahu mengadakan gerakan berbentuk politik di seluruh negara bagi membangkitkan ke­sedaran rakyat’.

Ungkapan itu mudahlah diluahkan demi agenda peribadi. Tapi bagaimana nasib pe­ngundi untuk mendapatkan khidmat wakil rakyat mereka?

Takkanlah pe­ngundi Cina di Gelang Patah misalnya masih mengharapkan menteri Pusat membantu mereka. Namun bila mengundi, calon MCA dan Gerakan disingkirkan.

– ZJ

Tulisan di atas adalah pandangan peribadi seorang pengirim dan tidak mencerminkan langsung pandangan daripada pihak Malaysia Kini 2.0..