Rasuah Anggota Polis, Warga Bangladesh Terima Hukuman Penjara 3 Bulan

Rasuah Anggota Polis, Warga Bangladesh Terima Hukuman Penjara 3 Bulan

0
SHARE

KUANTAN, PAHANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang lelaki warga Bangladesh menjalani hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah merasuah dua anggota polis, pada hari raya Aidiladha lepas.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib ketika membuat keputusan itu terhadap Islam Saimon, 24, selepas menerima pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap iaitu 12 Julai lepas.

Tertuduh didakwa memberi suapan RM551 kepada dua anggota polis dari unit Rondaan Cegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini pada 10.40 malam, 11 Julai lepas di kaunter aduan balai polis itu.

Suapan dalam bentuk wang tunai itu didakwa sebagai dorongan kepada anggota polis itu tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia datang ke negara ini untuk bekerja bagi menanggung keluarga dan sebelum ditahan, bekerja sebagai pembantu di kedai baju.

“Saya mempunyai dua adik yang masih belajar. Ayah tidak bekerja dan emak pula sakit,” katanya dalam nada perlahan.

Pada prosiding itu, tertuduh hadir dengan pakaian penjara serba putih kerana sedang menjalani hukuman penjara selama empat bulan bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman.

– BERNAMA