Ribut Tropika Pertama Melanda Thailand Dalam Tempoh 3 Dekad Ini

Ribut Tropika Pertama Melanda Thailand Dalam Tempoh 3 Dekad Ini

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Satu nyawa diragut di daratan selatan Thailand apabila negara tersebut dilanda ‘ribut tropika’ yang pertama dalam masa tiga dekad ini semalam, mengakibatkan pokok tumbang dan bumbung kediaman tercabut.

Beberapa pegawai memberi amaran tentang risiko banjir kilat walaupun ribut tropika Pabuk itu beransur lemah.

Ribut membawa angin berkelajuan 80 kilometer sejam itu tiba di daratan di daerah Pak Phanang, wilayah Nakhon Si Thammarat. Lokasi itu menyaksikan kerosakan meluas akibat pokok tumbang dan menghem­pas kediaman penduduk.

Memetik laporan Reuters, beberapa pegawai pengurusan bencana berkata, seorang kru maut apabila sebuah bot nelayan terbalik dan karam akibat angin kencang dekat perairan wilayah Pattani.

Seorang kru yang lain hilang tetapi empat lagi selamat.Pihak berkuasa memberi amaran fenomena hujan lebat dan angin kencang di 15 wilayah di Selatan Thailand yang menjadi hab tanaman getah serta lokasi beberapa pulau tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, menjelang tengah hari semalam, ribut itu beransur lemah dan menuju ke wilayah Surat Thani.

“Orang ramai perlu berwaspada cuaca buruk yang mengakibatkan banjir kilat,” kata Jabatan Meteorologi Thailand dalam satu kenyataan.

Menurutnya, cuaca buruk itu dijangka berlarutan hingga hari ini dengan amaran dikeluarkan melibatkan kawasan destinasi pelancongan seperti Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao.

“Angin kencang diramal de­ngan ombak setinggi antara 3 hingga 5 meter di Teluk Siam dan 2 hingga 3 meter di Laut Andaman,” tambah jabatan ber­kenaan.

Terdahulu, seramai 6,176 orang dipindahkan ke beberapa penempatan sementara di Nakhon Si Thammarat, Pattani, Songkhla dan Yala.

Lapangan terbang di Nakhon Si Thammarat turut ditutup de­ngan beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan hingga hari ini termasuk Nol Airlines dan Thai Smile.