RM75 Juta Disalur Untuk Atasi Masalah Air Di Beaufort

RM75 Juta Disalur Untuk Atasi Masalah Air Di Beaufort

0
SHARE
AZIZAH (tengah) menyampaikan subsidi mamogram kepada salah seorang penerima di majlis itu...

KUALA PENYU, SABAH – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM75 juta bagi menangani kelemahan penyaluran bekalan air bersih di Beaufort, Kuala Penyu dan Menumbok sekaligus mengatasi masalah itu sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, peruntukan yang sudah diluluskan awal tahun ini merangkumi pelbagai inisiatif termasuk kajian terperinci.

Menurutnya, penyelidikan itu perlu supaya masalah bekalan air yang sudah berlarutan sekian lama itu mampu diselesaikan secara total tanpa berlaku lagi perkara tidak diingini.

“Antara inisiatif ini, termasuk mengenal pasti permasalahan bekalan air seperti sistem perpaipan, tekanan air dan bermacam lagi masalah walaupun loji air (Loji Rawatan Air Jempangah) sudah dibina.

“Bukan itu saja, sejumlah RM48 juta juga sudah diluluskan bagi menaiktaraf air di kawasan Menumbok, termasuk RM22.5 juta lagi untuk tujuan sama membabitkan pembinaan tangki penyimpanan air di Kuala Penyu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (Face) 3.0 di Dewan Dato Ajak Kampung Palu-Palu, di sini (15 April).

Hadir sama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Penyu yang juga Ketua UPKO Bahagian Beaufort, Datuk Limus Jury.

Sementara itu, Limus dalam ucapannya berkata, Kuala Penyu bakal berwajah baru apabila Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan RM30 juta bagi pembinaan beberapa prasarana dan insfrastruktur.

Katanya, antara projek berkaitan termasuk pembinaan Kompleks Sukan Kuala Penyu membabitkan kos RM10 juta, pembinaan Esplanade Kuala Penyu dan Perkampungan Budaya masing-masing RM10 juta.

“Usaha akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini bakal mengubah wajah kawasan ini khususnya sebagai salah satu lokasi pelancongan di Sabah sekaligus menarik ramai pelancong luar negara.

“Paling penting, ia mampu membuka banyak peluang pekerjaan dan pada masa sama dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.