Rodrigo Duterte Biayai Penduduk Marawi Mengerjakan Ibadat Haji

Rodrigo Duterte Biayai Penduduk Marawi Mengerjakan Ibadat Haji

0
SHARE

MANILA, FILIPINA – Presiden Rodrigo Duterte membiayai penduduk Marawi yang kehilangan tempat tinggal untuk mengerjakan ibadat Haji sekaligus tindakan tersebut digambarkan untuk mempertahankan penggunaan dana pemulihan semula bandar raya Marawi.

Duterte menyatakan sokongan tersebut selepas merujuk kepada kepentingan menunaikan ibadat Haji bagi penduduk Islam di Marawi dan beliau menggambarkan perkara tersebut sebagai ‘pelaburan dalam keamanan’.

Juruaudit kerajaan mengenal pasti Majlis Penyelaras Pembangunan Bandar (HUDCC) kerana menggunakan lima juta peso (RM399,454) daripada dana berjumlah 500 juta peso (RM40 juta), yang diperuntukkan oleh Pejabat Presiden untuk pemulihan semula Marawi, untuk menghantar beberapa penduduk Islam menunaikan rukun Islam kelima itu tahun lalu.

Dana berkenaan diperuntukkan sebagai bajet operasi bagi Petugas Khas Bangon Marawi (TFBM), badan yang ditubuhkan untuk memudahkan usaha pembaikan, pembinaan dan pemulihan semula bandar raya itu selepas rosak teruk dalam pertempuran selama lima bulan antara militan yang menyokong Daesh dan tentera kerajaan pada 2017.

Dalam ucapannya sempena sambutan Aidilfitri Khamis lalu di Davao, Duterte merayu kepada Suruhanjaya Audit (COA) supaya mempertimbangkan semula keputusan tidak membenarkan penggunaan sebahagian dana itu untuk membayar perbelanjaan jemaah Haji pada 2018.

“Saya meminta COA menimbangkan ia semula. Apa itu lima juta? Ia bernilai berbilion peso dari segi kemurahan hati anda, untuk membiayai penduduk Islam miskin menunaikan Haji.

“Anda boleh lupakan mengenai pembinaan penempatan di Marawi yang dirancang kerajaan…

“Kepada umat Islam, lima rumah mewah tiada bandingan dengan kemurahan hati yang membenarkan mereka menunaikan Haji. Itu lebih penting,” katanya