Rozman Akan Pertahan Kerusi Labuan

Rozman Akan Pertahan Kerusi Labuan

0
SHARE

LABUAN – Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi parlimen Labuan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Rozman, penyandang kerusi itu selama satu penggal, dijangka ditentang calon PAS, Warisan dan seorang calon Bebas.

Pencalonan Rozman diumumkan setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Rizalman Mokhtar di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini pada majlis pengumuman calon parti itu yang akan bertanding bagi 13 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.

Rozman memenangi kerusi parlimen Labuan bagi kali pertama pada pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 6, 625 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon PKR dan PAS.

“Suara akar umbi mahukan saya dicalonkan semula dan oleh itu, saya diberi peluang sekali lagi dan saya akan pastikan BN memenangi kerusi ini sekali lagi dengan majoriti lebih besar,” kata Rozman ketika dihubungi Bernama.