Rumah Merdeka Saksi Usaha Tunku Abdul Rahman Bebaskan Negara Daripada Penjajah

Rumah Merdeka Saksi Usaha Tunku Abdul Rahman Bebaskan Negara Daripada Penjajah

0
SHARE

ALOR SETAR, KEDAH – Sebelum negara mencapai kemerdekaan, pelbagai rundingan untuk keluar daripada cengkaman penjajah berlangsung di beberapa lokasi termasuk Rumah Merdeka di Jalan Tunku Abdul Rahman Putra, di sini.

Sebagai anak gahara berasal dari Kedah, Tunku Abdul Rahman sering pulang ke negeri ini dan menginap di Rumah Merdeka dan dikatakan ia menjadi ‘markas’ almarhum untuk mencari ilham menyudahkan penulisannya, di samping memikirkan jalan untuk mencapai kemerdekaan.

Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Perlis/Kedah Abdul Jabar Mohamad Ridi berkata rumah yang asalnya milik bonda almarhum, iaitu Che Manjalara sebelum dihadiahkan kepada Bapa Kemerdekaan itu, sering menjadi tempat untuk para pemimpin merancang pelbagai strategi politik.

Perbincangan tentang dasar kerajaan dikatakan untuk memenangi pilihan raya persekutuan yang pertama pada Julai 1955 juga pernah diadakan di Rumah Merdeka.

“Rumah Merdeka diambil alih oleh pihak Arkib Negara pada 2003 dan sejak itu, jabatan kami sedaya upaya berusaha untuk membaik pulih dan memulihara struktur bangunan bersejarah itu,” katanya kepada Bernama di sini.

Sumber Foto: BERNAMA..

Menurutnya, Tunku Abdul Rahman juga sering menerima kunjungan pegawai serta pemimpin dari dalam serta luar negara di kediaman yang terletak di tebing Sungai Kedah itu, untuk mengadakan perbincangan tentang pelbagai perkara termasuk urusan rasmi negara.

Putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24 itu mempunyai pesona tersendiri dan tidak hairanlah apabila beliau sendiri yang mengetuai rombongan rundingan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke London pada sekitar awal 1956.

Bekas Menteri Penerangan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin pernah dilaporkan berkata bahawa Tunku sebenarnya seorang yang pintar, licik malah berjaya memanipulasi Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga British mempercepatkan kemerdekaan negara.

Sementara itu, seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi, Muhammad Izzat Syafiq Ibrahim, 25, dari Kota Sarang Semut dekat sini berkata, gejolak di jiwa yang ingin tahu tentang apa istimewanya Rumah Merdeka mengheret langkahnya ke kediaman dua tingkat itu.

“Saya dilahirkan di Perak, tapi ibu bapa berasal dari Kedah. Mereka ada cerita (beritahu kalau) nak tahu tentang Tunku Abdul Rahman dan sejarah Merdeka, tak payah pergi sampai Kuala Lumpur atau Melaka, pergi saja ke Rumah Merdeka sebab Bapa Kemerdekaan ialah orang Kedah.

“Memang betul, banyak sejarah terakam di sini dan saya juga kagum bila tahu Misi Muhibbah dari Jakarta yang terdiri daripada pegawai-pegawai tentera Indonesia pernah datang berunding dengan Almarhum Tunku di rumah ini mengenai isu Konfrontasi Malaysia-Indonesia,” katanya.