Sabah Akan Mundur 30 Tahun Jika Laksana Dasar “Sabah Untuk Sabahan” –...

Sabah Akan Mundur 30 Tahun Jika Laksana Dasar “Sabah Untuk Sabahan” – STAR Bidas Kenyataan Ketua Penerangan UMNO

0
SHARE
Edward Linggu...

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Solidariti Tanahairku (STAR) menolak keras kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, bahawa Sabah akan mundur 30 tahun jika Sabah melaksanakan dasar Sabah untuk Sabahan.

Dalam satu kenyataan, timbalan presiden STAR, Edward Linggu, berkata jika Sabah diberikan pemerintahan bebas untuk menangani urusannya, ia akan maju 30 tahun lebih jauh dari Semenanjung.

“Mari kita lihat apa yang berlaku di Sabah di bawah Barisan Nasional (BN). Di bawah kerajaan Persekutuan, Sabah telah dianiaya dan dirompak daripada pendapatannya, iaitu 40% bahagian dari eksais duti dan eksport produk petroleum. Bagi setiap RM1 bilion Sabah hanya diberi RM120 juta,” kata Linggu.

“Dan untuk duti eksport minyak mentah kita berhak hanya 10 peratus ad valorem (pengenaan cukai atau duti kastam) sebagai ganti royalti (berjumlah RM2.63 bilion). Dan semua ini begitu kecil diberikan walaupun kita memiliki 100 peratus daripada minyak dan gas yang mana diambil dari bumi Sabah.”

Linggu juga menegaskan bahawa di bawah BN sejak 1994 dan di bawah ketua menteri UMNO sejak tahun 2003, Sabah telah turun dari kedudukan negeri kedua terkaya di Malaysia di tahun-tahun 1970-an kepada yang paling miskin sekarang.

“Pada tahun 1960-an, Sabah mempunyai pesawat sendiri dan juga telah mampu meminjamkan wang kepada kerajaan persekutuan pada tahun 1972 untuk memulakan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selepas ia berpecah dari Malaysia Singapore Airlines.

“Selama pemerintahan BN di Sabah kemudahan asas seperti air dan elektrik telah berada di tahap yang sangat menyedihkan sejak beberapa dekad, dan kita mempunyai banyak jalanraya rosak yang tidak mampu diperbaiki oleh kerajaan, apalagi membina jaringan jalan raya baharu. Kerana pengabaian ini, rakyat kita telah diberitakan menghantar pesakit mereka dengan ‘ambulans kerbau’.

“Sebaliknya Kuala Lumpur pusat telah membelanjakan lebih daripada RM100 bilion untuk membina sistem MRT dengan banyak wang yang diperoleh daripada hasil minyak dan gas Sabah. Cuba sahaja bandingkan kami dengan Singapura, sebuah negera kota tanpa sumber semula jadi, yang berkembang dengan pesat selepas meninggalkan Malaysia pada tahun 1965. Tanpa UMNO dan BN, kini Singapura menjadi negara kelima terkaya di dunia dengan ekonomi dan infrastruktur dan pembangunan yang maju ke tahap ekonomi dunia pertama,” tambah Linggu.

Beliau mengesali bahawa “Sabah yang kaya tetapi miskin” kini merupakan pengeluar minyak kelapa sawit lebih dari RM20 bilion setahun tetapi ia negeri yang belum terbangun walaupun dibandingkan dengan Perlis. Beliau tegas percaya bahawa Sabah pastinya akan berkembang maju dengan pesat dan bukannya akan mundur di bawah kerajaan Sabah yang mendapat segala haknya.

“Dengan mendapat semua hak dan berautonomi, kami akan dapat berdiri megah kerana kami menebus alu dan melupakan kerugian setengah abad kerana aniaya Maaya,” kata Linggu.

“Dengan banyaknya hasil dan syer yang dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan, kami akan dapat mempunyai pasukan keselamatan, kementerian pendidikan dan kesihatan kami sendiri, dan membina infrastruktur yang boleh melebihi mereka di banyak negeri di Semenanjung.

“Kami akan menjalankan hubungan perdagangan dan perindustrian antarabangsa sendiri tanpa dasar cabotage yang menindas. Annuar Musa dan Umno harus menghentikan pembohongan dan propaganda bahawa kononnya hanya Putrajaya boleh membangunkan Sabah atau membuat keputusan yang terbaik untuk kami.

“Malah, BN tidak seharusnya berasa bangga dengan memanjakan rakyat Sabah dengan hadiah yang tidak berkesudahan dengan memberikan tangki biru, dan pakej-pakej makanan yang hanya segendong banyaknya dan BR1M.

“Adalah jelas bahawa BN tidak berminat atau tidak mampu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan program-program sosio-ekonomi yang berkesan dan menyelesai masalah kemiskinan sekali dan selama-lamaanya. Mungkin mereka mahu mengekalkan kita terus miskin supaya lebih senang  untuk mengawal kita dengan buah-buah tangan yang menyedihkan bila datang masa pilihan raya,” kata Linggu.