Sabah Beroperasi Bajet Defisit – Shafie

Sabah Beroperasi Bajet Defisit – Shafie

0
SHARE

PENAMPANG,SABAH – Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal menepis rizab RM4 bilion bagi Sabah oleh pentadbiran Negeri terdahulu seperti yang dilaporkan secara meluas dengan mengatakan bahawa Sabah sebenarnya beroperasi dengan bajet defisit selama ini.

“Saya tahu bahawa jiran kita Sarawak mempunyai rizab RM3.7 bilion. Saya dapati bahawa kita tidak mempunyai rizab seperti itu bagi Sabah dan sebenarnya ada hutang. Itulah masalahnya. Jadi di sini kita bermula pada sifar. Malah, negatif.”

Shafie, bagaimanapun, berkata untuk menangani masalah ini, beliau yakin bahawa Kerajaan Sabah yang baharu dengan sumber negeri yang banyak akan dapat membawa pembangunan perindustrian dan hiliran kepada Sabah untuk mengisi semula tabungan negeri sekali lagi.

“Kita ada minyak dan gas. Kita adalah pembekal terbesar di sebelah sini dan di negara ini. Kita ada kayu balak dan pelancongan dan kelapa sawit kita adalah yang terbesar bukan sahaja dalam negara tetapi juga di rantau ini selain industri makanan.

Menurut Shafie, salah satu cara yang sedang diteliti adalah untuk menjadikan Tawau sebuah hab makanan laut di rantau ini.

“Untuk itu, saya meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Menteri Perikanan yang baharu, Junz Wong, melihat untuk menjadikan Tawau sebuah hab makanan laut bagi rantau ini.

“Ada banyak ikan di Semporna yang mati kerana sudah tua kerana tiada siapa memprosesnya. Kita tiada sesiapa untuk memproses ikan-ikan ini menjadi sardin atau tuna dalam tin.

“Sukar untuk percaya kerana jika Thailand boleh mewujudkan kilang mengetin ikan sardin, sudah tentu kita juga boleh melakukannya di sini…

“Kita ada begitu banyak ikan tuna di sini tapi kita membeli ikan tuna dalam tin dari pasar raya-pasar raya, dari Kuala Lumpur kerana kita tidak ada kilang di sini untuk memprosesnya.

“Sebagai pemimpin negeri ini, saya berjanji untuk berkerja lebih keras untuk memastikan Sabah menjadi tempat yang lebih baik untuk kita semua.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran Warisan Penampang di Dewan Kebudayaan Penampang, pada Ahad.

Sementara itu, Shafie berkata beliau juga akan menubuhkan sebuah unit sistem penyampaian baharu bagi memastikan setiap kementerian Negeri akan melaksanakan tanggung jawab mereka.

“Ini akan dilaksanakan mengikut KPI yang diberikan dan setiap menteri akan memberikan kepada saya laporan tahunan mengenai prestasi dan kejayaan kementerian masing-masing.”

Shafie juga berkata beliau mahu kepimpinan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan agar turun padang lebih kerap khususnya di kawasan-kawasan luar bandar.

“Jika saya pergi ke kampung-kampung, saya juga mahu kementerian berkaitan termasuk ketua-ketua perkhidmatan kerajaan agar menyertai saya supaya kita boleh mendengar daripada orang-orang di sana. Adalah menjadi harapan saya agar kepimpinan boleh pergi ke kawasan pedalaman lebih kerap.

“Saya tidak mahu pegawai-pegawai kerajaan hanya berkhidmat dari pejabat berhawa dingin mereka. Itu semua sudah berlalu. Sekarang saya mahu pegawai-pegawai ini turun padang dan bercakap kepada rakyat. Cari apa masalah mereka.”

Untuk melakukan perkara ini, katanya, beliau memerlukan sokongan daripada semua rakyat Sabah.

“Kita tidak boleh merealisasikan pencapaian tanpa sokongan semua. Adalah menjadi harapan saya agar dengan sokongan ini, kita boleh mencapainya.

“Kalau ada kelemahan dalam pentadbiran saya, saya mahu rakyat menyuarakannya kepada saya. Jangan berdiam diri (kerana) ini sangat penting…

“Jika kita jenis yang tidak boleh mendengar kritikan dan mereka yang mengkritik kita, kita pecat kemudian esok mungkin rakyat juga akan memastikan bahawa kita dipecat.

“Kita tidak boleh menjadi sebuah kerajaan yang baik jika kita tidak bersedia mendengar kritikan daripada rakyat.”

Beliau berkata parti Warisan mesti dijaga dengan baik kerana jika tidak, Warisan juga akan mengalami nasib sama dengan parti-parti politik sebelum ini.

“Jika ahli diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang baik dan ahli-ahlinya bersatu, maka parti ini akan bertahan sebagai sebuah kerajaan Negeri untuk satu tempoh yang lama.

“Tapi jika parti ini tiada kesatuan dan ahli-ahlinya bergelut sesama sendiri disebabkan rasa tamak dan mengejar kedudukan dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat sama seperti parti sebelum ini di Sabah, maka parti ini akan gagal.

“Setiap hari kita perlu meningkatkan tahap perkhidmatan kita untuk manfaat rakyat Sabah.”

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking dan Pembantu Mentari Kewangan, Kenny Chua.