Sabah Ingkar Arahan Benarkan Operasi Perniagaan Berpilih, Peniaga Pula Bagitahu Sepatutnya SOP...

Sabah Ingkar Arahan Benarkan Operasi Perniagaan Berpilih, Peniaga Pula Bagitahu Sepatutnya SOP Kepada Pelanggan Yang Diperketatkan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seperti yang diduga, Datuk Seri Shafie Apdal telah mengambil keputusan bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membenarkan operasi perniagaan melibatkan sektor terpilih untuk membuka perniagaan mereka pada 04 Mei (Isnin) ini.

Kenyataan Shafie yang turut tular di media sosial tersebut walau bagaimanapun mendapat reaksi yang berbeza dari kalangan usahawan dan peniaga di seluruh Sabah.

Beberapa orang peniaga menyatakan keputusan Shafie tersebut dibuat secara terburu-buru tanpa memikirkan kesan negatif kepada ekonomi di negeri Sabah termasuklah puluhan ribu nasib pekerja yang turut terjejas. Sambil mengakui wabak COVID-19 ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin oleh Kerajaan Negeri Sabah, namun jika operasi perniagaan dibuat dengan SOP yang betul penularan virus ini sudah tentu akan mampu diatasi daripada terus merebak.

“Apa bezanya perniagaan kedai tayar, alat ganti kenderaan, kedai elektrik dan sebagainya dengan ‘supermarket’ dan pasar yang menjual barangan makanan mentah?. ‘Supermarket’ dibenarkan beroperasi setiap hari, sepatutnya perniagaan lain juga dibenarkan beroperasi tetapi mestilah mengikut SOP yang ketat.”

“Bukankah pemilik setiap ‘supermarket’ turut mengikuti SOP iaitu penjarakan sosial, memakai penutup muka, memeriksa suhu badan dan wajib membersihkan tangan dengan penyah-kuman kepada setiap pelanggan.”

Untuk rekod arahan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini hanya beberapa kedai tertentu sahaja dibenarkan beroperasi seminggu 3 kali dan masa operasi pula daripada 8.00 pagi hingga ke 2.00 petang.

“Sedarkah Shafie bahawa sebenarnya ramai pekerja yang terpaksa dipotong gaji mereka sementara pemilik perniagaan menunggu subsidi daripada Kerajaan Persekutuan, sekurang-kurangnya apabila sektor perniagaan berpilih dibenarkan beroperasi di seluruh Sabah dengan syarat SOP yang cukup ketat, ribuan pekerja termasuk pelanggan akan dapat manfaat secara langsung daripada operasi perniagaan ini,” tambah mereka lagi.

Aktivis masyarakat pula turut mengulas mengenai arahan terbaharu oleh Kerajaan Negeri Sabah ini dengan berkata “yang bersalah ketika ini adalah orang ramai yang keluar berpusu-pusu ke pusat bandar tanpa hala tuju yang jelas. Mereka (orang ramai) ternyata tidak faham arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Kelonggaran hanya diberikan kepada kedai menjual barangan tertentu untuk beroperasi dan bukannya orang ramai.”

“Kita tidak harus menyalahkan golongan peniaga. Pihak Polis dan Askar sebenarnya boleh menangkap orang ramai yang berjalan tanpa arah tuju yang jelas dan kemudiannya yang lebih menyedihkan lagi apabila ada di antara mereka (orang ramai) yang keluar dari rumah tidak menggunakan penutup muka.”

“Shafie juga di dalam membuat keputusan sepatutnya memikirkan kesan langsung kepada keperluan orang ramai yang ingin membeli barangan keperluan seperti alat ganti kenderaan, tayar dan sebagainya termasuklah juga golongan peniaga di mana mereka telah menanggung kerugian yang cukup besar sejak PKP ini dikuatkuasakan.”

“Dalam masa yang sama nasib pekerja-pekerja juga seharusnya diambil kira.

“Shafie Apdal juga sepatutnya perlu melebar luaskan bantuan kewangan bukan hanya kepada mereka yang telah berdaftar dengan E-kasih sahaja, sebaliknya kepada pemohon baharu yang bergaji kurang dari RM4,000.”

“Pemantauan terhadap berapa ramai jumlah pekerja yang telah diberhentikan semasa PKP ini dikuatkuasakan juga perlu didedahkan kepada umum serta apakah inisiatif Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu mereka, bukannya hanya berdiam diri dan tidak bersetuju apa yang telah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan,” tambah aktivis masyarakat dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, ketika dihubungi Penganalisis Politik Bebas Syihab Al-Hadi pula berkata “tindakan Shafie Apdal tidak membenarkan sektor perniagaan ditutup sepenuhnya sepatutnya tidak dibuat dengan terburu-buru.”

“Mungkin cara pelaksanaan boleh ditangguhkan, tetapi bukan dengan keputusan muktamad untuk tidak membenarkan sama sekali operasi perniagaan yang terpilih yang sepatutnya dibuka pada 04 Mei ini.”

“Kalau pun Sarawak tidak mengikuti arahan ini, sekurang-kurangnya kebajikan rakyat di sana khususnya membabitkan bantuan makanan mentah kepada golongan sasar (pekerja) tidak terabai, sebaliknya ini tidak berlaku di Sabah.”

“Sepatutnya Shafie boleh mengeluarkan arahan kepada pihak Polis termasuk meminta bantuan Askar agar orang ramai yang keluar dari rumah tanpa menggunakan topeng muka (facemask) dan tanpa hala tuju yang betul perlu diarahkan pulang ke rumah atau jika perlu tangkapan boleh dilakukan.”

“Arahan dan garis panduan agar setiap pemilik premis perniagaan yang terpilih untuk dibuka juga perlu mematuhi SOP yang ketat.”

“Sebagai contoh SOP bagi pekerja setiap hari suhu badan perlu diambil, penjarakan sosial sejauh satu meter, memakai penutup muka, sentiasa membasuh tangan dan tidak bersalaman. Manakala SOP untuk pelanggan pula wajib daftarkan nama penuh, nombor MyKad atau pasport, mengambil foto melalui telefon bimbit pemilik kedai, nombor telefon, alamat rumah, wajibkan penggunaan penutup muka (facemask) dan menyediakan pencuci nyah-kuman (sanitizer).”

“Sekurang-kurangnya sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, langkah SOP tersebut akan memudahkan pihak KKM mengambil tindakan yang perlu,” Syihab berkata lagi.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain dalam satu kenyataan turut mengulas langkah Kerajaan Negeri Sabah mahu membendung penularan COVID-19 dialu-alukan, tetapi dalam masa yang sama tindakan Shafie Apdal yang seringkali berbeza di dalam membuat keputusan seiring dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya merugikan banyak pihak khususnya golongan peniaga termasuk pengguna.

Ir. Abdul Aziz Julkarnain…

“Sebagai contoh arahan yang dikeluarkan oleh MKN sebelum ini bahawa semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya, restoran serta stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, malangnya di Sabah masa perniagaan hanya dari 6 pagi hingga 6 petang.”

“Manakala stesen minyak pula waktu operasi di seluruh Sabah bermula dari 6 pagi sehingga 2 petang kecuali bagi kenderaan yang membawa barang keperluan.”

Abdul Aziz juga turut mempersoalkan sehingga kini Shafie Apdal belum lagi mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang menyeluruh untuk meningkatkan ekonomi negeri Sabah sambil mengingatkan Shafie seharusnya memberikan tumpuan kepada perkara ini memandangkan Sabah adalah pengeksport terbesar Sawit di Malaysia.