Sabah Lanjutkan Arahan Tangguh Aktiviti Solat Berjemaah Dan Solat Jumaat Di Setiap...

Sabah Lanjutkan Arahan Tangguh Aktiviti Solat Berjemaah Dan Solat Jumaat Di Setiap Masjid Hingga 31 Mac

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah melanjutkan arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di setiap masjid serta surau di seluruh negeri sehingga 31 Mac ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata sebelum ini, arahan penangguhan itu ditetapkan sehingga 26 Mac, namun, berdasarkan situasi terkini wabak COVID-19 yang semakin kritikal dengan penambahan pesakit setiap hari di Sabah, pihaknya mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh penangguhan sehingga 31 Mac.

Bungsu berkata Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan perkara itu setelah mengambil kira asas-asas syarak serta maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam Sabah, dan menurutnya, pelanjutan atau penamatan tempoh itu tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Keputusan ini akan melibatkan penangguhan solat Jumaat pada 27 Mac 2020. Ahli Qaryah wajib solat fardu zuhur di tempat kediaman masing-masing pada tarikh berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bungsu berkata umat Islam di Sabah hendaklah merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu ‘Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya’ dan garis panduan lain yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Umat Islam Sabah juga diingatkan untuk sentiasa mengambil langkah keselamatan mengikut saranan dan garis panduan ditetapkan KKM, katanya.

“Marilah kita terus istiqamah memperbanyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT serta sentiasa berdoa moga Allah SWT memberi perlindungan daripada dijangkiti wabak ini,” katanya.

– BERNAMA