Saintis Dari Pelbagai Negara Guna Teknologi Baharu Dalam Membangunkan Vaksin Merawat ‘Koronavirus’

Saintis Dari Pelbagai Negara Guna Teknologi Baharu Dalam Membangunkan Vaksin Merawat ‘Koronavirus’

0
SHARE
Sumber Foto; AFP...

SINGAPURA – Teknologi canggih dan baharu bernilai jutaan dolar digunapakai sepenuhnya oleh para saintis dari pelbagai negara dalam membangunkan vaksin untuk merawat wabak ‘Koronavirus’.

Biarpun tempoh menghasilkan sesuatu vaksin mengambil masa yang panjang, beberapa kumpulan saintis berusaha menghasilkan vaksin khusus untuk virus terbabit dalam tempoh yang singkat.

Saintis dari Australia yang juga pengkaji kanan dari Universiti of Queensland, Keith Chappell, berharap vaksin yang sedang diusahakan kumpulannya, dapat dihasilkan dalam tempoh enam bulan ini.

“Keadaan kini sangat genting dan banyak beban yang perlu kami pikul. Kami tahu ramai yang sedang berusaha menghasilkan vaksin dan berharap ada antaranya yang berjaya merawat wabak ini,” katanya.

Selain itu, usaha sama turut dilakukan Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), organisasi yang ditubuhkan pada 2017 bagi membiayai kajian bioteknologi menangani Ebola di Afrika Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif CEPI, Richard Hatchett yang dipetik AFP berkata bahawa berkata sasaran organisasi itu adalah untuk menghasilkan vaksin dan melakukan ujian klinikal dalam tempoh 16 minggu.

Manakala syarikat biofarmaseutikal Jerman, CureVac dan Moderna Therapuetics yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sedang menghasilkan vaksin berdasarkan ‘messenger RNA’, iaitu kod genetik arahan supaya tubuh menghasilkan protein bagi membentuk sistem imun badan bagi melawan virus terbabit.

Sementara itu, Pengarah Acumen Research Laboratories, Ong Siew Hwa, berkata usaha menghasilkan vaksin untuk virus baharu itu perlu dilakukan secara berterusan.

“Saya berpendapat, vaksin itu amat penting, biarpun bukan untuk masa sekarang tetapi penting untuk masa depan,” katanya.