Sarawak Energy Beri Peruntukkan RM600,000 Untuk Dana Pendidikan Tabung Amanah Bakun

Sarawak Energy Beri Peruntukkan RM600,000 Untuk Dana Pendidikan Tabung Amanah Bakun

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Sarawak Energy Berhad (SEB) menerusi Tabung Amanah Bakun hari ini memperuntukkan sejumlah RM600,000 untuk dana pendidikan bagi komuniti penempatan semula Bakun, Murum dan Batang Ai.

Pengerusi SEB, Datuk Amar Hamed Sepawi berkata adalah menjadi tanggungjawab SEB untuk membantu masyarakat di Sarawak terutamanya di kawasan yang terjejas dengan projek-projek syarikat berkenaan.

“Dana tersebut merupakan inisiatif pendidikan bagi mengalakkan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah selain sebagai bantuan kewangan untuk anak-anak di komuniti tersebut untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, dana itu juga digunakan untuk program pembangunan pendidikan bagi menambah baik fasiliti pembelajaran yang memanfaatkan komuniti Kayan, Kenyah, Kajang dan Penan di 15 rumah panjang di Skim Penempatan Semula Bakun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Dana Pendidikan Skim Penempatan Bakun di sini, hari ini.

Majlis MoU antara SEB dan Tabung Amanah Bakun itu disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili dan Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Korporat, Aisah Eden menandatangani bagi pihak SEB manakala Tabung Amanah Bakun diwakili pengerusinya, Tan Sri James Jemut Masing dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Pada majlis tersebut, SEB turut menyerahkan cek berjumlah RM200,000 untuk Dana Pendidikan Batang Ai dan Dana Pendidikan Belaga Penan.

– BERNAMA