Sarawak Yakin Menang Ke Atas Tindakan Petronas

Sarawak Yakin Menang Ke Atas Tindakan Petronas

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yakin Sarawak dapat menang ke atas tindakan Petronas yang mengemukakan permohonan penjelasan status mereka dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 di Mahkamah Persekutuan.

Menurut beliau, pasukan perundangan negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan isu Petronas itu dengan antara ‘senjata’ utamanya adalah dokumen-dokumen yang diperolehi daripada misi berkaitan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di London, sebelum ini.

“Dokumen dari London banyak membantu, semuanya adalah asli dan semua dokumen yangkita bawa balik ini akan digunakan sepenuhnya sebagai bukti yang diperlukan di mahkamah nanti…

“Dengan itu, kita yakin dapat menang dalam perjuangan mempertahankan hak eksekutif minyak dan gas Sarawak dan ini adalah pendirian Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hasidah berkata apa-apa tindakan yang akan diambil kerajaan negeri adalah bergantung kepada keputusan proses pendengaran isu tersebut, yang dijadualkan pada12 Jun di Mahkamah Persekutuan namun ditangguhkan kepada tarikh baharu, 21 Jun ini.

“Kita tunggu dan lihat apa keputusan mahkamahpada 21 Jun nanti sama ada mereka membenarkan permohonan Petronas atau sebaliknya dan dari situ, kita lihat apa tindakan selanjutnya yang akan diambil.

“Buat masa sekarang, kita tidak mahu tergesa-gesa atau terburu-buru mengambil apa jua tindakan,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai PDA 1974 sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum sertapengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.

Perkara itu disahkan Jabatan Peguam Besar Sarawak yang mengakui menerima notis daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa Kerajaan Sarawak menjadi pihak dalam saman dikemukakan Petronas itu.