Saya Tak Bodoh Nak Kata Rakyat Sabah Dan Sarawak Malas – Tun...

Saya Tak Bodoh Nak Kata Rakyat Sabah Dan Sarawak Malas – Tun M

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kenyataan beliau mengenai rakyat Sabah dan Sarawak telah dimanipulasikan sesetengah pihak.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu juga menafikan dakwaan mengatakan beliau menyifatkan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai malas.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak sudah sama seperti rakyat di Semenanjung, tiada perbezaan. Saya tidak pernah kata orang Sabah dan Sarawak ini malas.

“Saya bukan bodoh semacam itu kerana Pakatan Harapan ingin mendapat sokongan daripada Sabah dan Sarawak. Memanggil orang Sabah dan Sarawak malas bukanlah satu cara untuk menarik sokongan.

“Ini dakwaan yang dibuat (media arus perdana) bahawa orang Sabah Sarawak ini malas, tidak Pakatan Harapan,” katanya melalui rakaman “Policy Talk” yang disiarkan di laman Facebook rasminya hari ini.

Pakatan Harapan katanya yakin lebih ramai penduduk Sabah dan Sarawak yang berminat dalam industri gas dan petroleum berbanding orang Semenanjung.

“Di Semenanjung kadang-kadang kita terpaksa menggunakan pekerja asing untuk menjalankan kerja-kerja berat dan sebagainya. Namun, di Sabah dan Sarawak mereka menggunakan jentera berat sendiri dan mereka cekap sehingga dihantar ke luar negara,” tambahnya.

Justeru beliau yakin, pendapatan penduduk di Sabah dan Sarawak akan meningkat jika mereka terus diberi peluang dan ruang dalam sektor pekerjaan.

Sebelum ini penduduk Sabah dan Sarawak marah terhadap Tun selepas Tun menuduh mereka mempunyai mentaliti ingin cepat kaya sehingga kayu balak habis ditebang.