Semua Pertukaran Dalaman Jabatan Pendidikan Dibekukan Serta Merta – Dr. Maszlee

Semua Pertukaran Dalaman Jabatan Pendidikan Dibekukan Serta Merta – Dr. Maszlee

0
SHARE
Dr Maszlee Malik...

PUTRAJAYA – Semua pertukaran dalaman di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) di seluruh negara dibekukan serta-merta susulan terdapat maklumat wujudnya percaturan politik dalam pertukaran tersebut.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata pihaknya mendapat maklumat ada usaha menempatkan pegawai yang setia kepada kerajaan terdahulu di jawatan strategik di JPN dan PPD yang dikhuatiri bertujuan mensabotaj usaha kementerian dan kerajaan baharu dalam membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan negara.

“Ini adalah perkara yang mengecewakan kerana saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi-institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Maszlee berkata pihaknya juga mengenal pasti tiga negeri di utara dan pantai timur yang aktif melakukan usaha tersebut dan sehubungan itu juga beliau mengarahkan semakan semula kenaikan pangkat dan pertukaran peringkat JPN serta PPD yang berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir yang lalu.

Katanya tindakan itu adalah untuk memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mahu membawa unsur-unsur tidak sihat dalam sistem pendidikan negara.

“Kita mahu pihak yang terbabit terutamanya mereka yang sengaja mahu menyukarkan kerajaan mereformasi sistem pentadbiran tahu bahawa kerajaan baharu ini tidak akan berkompromi dengan perkara yang merosakkan seperti itu,” katanya.

Maszlee bagaimanapun tidak menyatakan perincian jumlah pegawai yang terlibat dalam pertukaran itu.

– BERNAMA