Seorang OKU Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Cuba Bunuh Bapa Bekas Kekasih

Seorang OKU Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Cuba Bunuh Bapa Bekas Kekasih

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh bapa bekas teman wanitanya dengan menikam mangsa menggunakan dua bilah pisau, dua minggu lepas.

Muhammad Amirul Bungsu,21, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dan dijelaskan menggunakan bahasa isyarat oleh jurubahasa isyarat di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah

Tertuduh yang memakai kemeja-T warna hitam dan berseluar biru hanya menggelengkan kepalanya selepas pertuduhan diterangkan dan dibacakan kepadanya.

Muhammad Amirul didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mohd Rodzi Jamaluddin, 64, dengan niat bahawa perbuatannya itu menyebabkan kematian ke atas mangsa di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Cheras di sini pada 8.30 malam, 14 Dis lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan wang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan merupakan kesalahan serius.

Bagaimanapun peguam Hannan Ishak yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dirujuk ke pakar psikiatri kerana disyaki mengalami masalah mental semasa kejadian.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Feb 2019 untuk sebutan semula kes bagi mengetahui laporan mental tertuduh.

– BERNAMA