Serangan Dron Ke Atas Loji Penapisan Minyak Arab Saudi Punca Utama Harga...

Serangan Dron Ke Atas Loji Penapisan Minyak Arab Saudi Punca Utama Harga Minyak Dunia Menurun

0
SHARE
Sumber Foto; Reuters...

NEW YORK – Serangan dron ke atas loji penapisan minyak Arab Saudi yang telah menjejaskan 50 peratus pengeluarannya antara punca utama harga minyak dunia jatuh lebih 5 peratus kelmarin.

Minyak mentah gred North Sea Brent untuk penghantaran November susut kepada AS$65 (RM272) daripada AS$67.75 (RM283). Harga pasaran turun serendah AS$64.24 (RM269) sebelum meningkat sedikit selepas itu.

Penganalisis Forex.com, Fawad Razaqzada yang dipetik laporan AFP berkata bahawa pasaran jatuh semula susulan berita dari Arab Saudi di mana untuk kali ini harga minyak turun dengan jaminan pemulihan bekalan lebih pantas daripada jangkaan

Peningkatan mendadak harga minyak pada Isnin lalu mencetuskan kebimbangan kos bahan api dan ketidakstabilan geopolitik yang mungkin menjejaskan lagi ekonomi dunia.

Bagaimanapun, langkah pemulihan segera eksport Arab Saudi serta harga kembali ke paras asal berjaya mengurangkan keresahan ramai pihak.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini menyatakan beliau bersedia membantu Arab Saudi tetapi akan menunggu pengesahan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Pemberontak Houthi di Yemen yang disokong Iran mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan dron berkenaan tetapi Washington dan Riyadh tetap menuding jari ke arah Teheran. Namun, ia disangkal Iran.

Sementara itu, di Jeddah, kerajaan Arab Saudi kelmarin memberi jaminan pengeluaran minyaknya akan kembali normal menjelang hujung bulan ini bagi meredakan kebimbangan pasaran.

Serangan pada hujung minggu lalu berlaku di loji penapisan minyak terbesar dunia di Abqaiq dan ladang minyak Khurais di timur Arab Saudi.

Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz bin Salman memaklumkan negara pengeluar minyak terbesar dunia itu mengeluarkan simpanan strategiknya bagi menjamin bekalan mencukupi.

“Saya mempunyai berita baik untuk anda. Pengeluaran minyak ke pasaran antarabangsa sudah kembali ke paras asal sebelum serangan,” katanya.

“Sejak dua hari lalu, kerosakan yang berlaku berjaya dikawal dan 50 peratus pengeluaran yang susut kini kembali kepada asal,” tambahnya.

Putera Abdulaziz memaklumkan Arab Saudi akan kembali mencapai kapasiti 11 juta tong sehari pada hujung bulan ini dan 12 juta tong sehari menjelang penghujung November.