Shafie Apdal Amal Politik Kronisme?

Shafie Apdal Amal Politik Kronisme?

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pemerhati politik bebas Christopher Wong yang berasal dari Kuala Lumpur menegaskan tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal melantik pengarah Jabatan Air daripada kalangan orang awam yang juga ahli Parti Warisan Sabah sebagai satu tindakan yang salah dari segi prinsip integriti, moral, etika.

Perkara ini jelas kelihatan seolah-olah amalan ‘kronisme’ dan ‘nepotisme’ sedang cuba dihalalkan untuk diamal ketika ini di Sabah.

Amalan ini adalah jelas bertentangan dengan program pembasmian rasuah oleh Tun Dr Mahathir di peringkat Kerajaan Pusat pada ketika ini…

Kelmarin telah tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp berhubung surat lantikan sebagai pengarah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) yang menunjukkan penama Amarjit Singh.

Amarjit, yang juga dikenali sebagai rakan karib kepada Shafie Apdal telah dilantik selama tiga tahun bagi jawatan Jurutera Gred J54 berkuatkuasa 10 Ogos 2018 dengan gaji permulaan RM 7,779.

Difahamkan, Amarjit tidak pernah menjadi penjawat awam sebelum ini. Kemudian dilantik terus menjadi pengarah Jabatan Air salah satu jabatan Kerajaan Negeri Sabah.

Christopher berkata “sepatutnya Shafie boleh melantik Amarjit sebagai Pengerusi GLC iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah dan bukannya melantik sebagai pengarah di Jabatan Kerajaan Negeri.

“Harus diingat masih ramai penjawat awam rakyat tempatan Sabah yang lebih berkelayakan dan mereka telah berkhidmat sebagai penjawat awam sehingga 30 dan 40 tahun lamanya. Kebanyakan penjawat awam ini tahu peraturan kerajaan negeri yang sedia ada sebaliknya Amarjit boleh dipertikaikan keupayaannya sebagai seorang ketua pentadbir yang baik”.

Tindakan Shafie juga jelas menutup peluang penjawat awam lain yang berkelayakan dan telah lama berkhidmat sebagai penjawat awam untuk mengisi jawatan pengarah tersebut yang mana mereka sebenarnya lebih layak dari segi gred gaji mereka.

“Justeru apa rasionalnya Shafie melantik Amarjit yang turut terpalit dengan siasatan rasuah oleh SPRM sebelum ini melibatkan peruntukan KKLW”, tambah Christopher.

Menurut sumber, Amarjit difahamkan adalah salah seorang juru perunding syarikat swasta dan ini secara jelas boleh menimbulkan presepsi salah dan negatif dari kalangan rakyat terhadap Amarjit.

Umum juga mengetahui bahawa Jabatan Air Sabah merupakan salah satu agensi yang begitu banyak mengeluarkan projek dan terkini yang akan dilaksanakan adalah pembinaan empangan Papar yang melibatkan 2 billion ringgit. Tidak diketahui sama ada ini adalah punca sebenar Amrjit dilantik atau sebaliknya, namun Shafie lebih maklum mengenainya.

Sebelum ini, majoriti rakyat Sabah kurang senang dan berpuas hati dengan tindakan Shafie yang melantik Timbalan Ketua Menteri Sabah bagi kuota Islam Dato’ Jaujan Sambakong yang turut berasal dari Semporna dan adun Sulabayan seolah-olah sudah tidak ada lagi bangsa bumiputera Islam yang lebih berkelayakan selain Jaujan di Sabah.

Turut difahamkan Jaujan adalah Setiausaha Politik paling lama berkhidmat dengan Shafie sebelum ini…

Turut dipertikaikan sebelum ini juga apabila Dato’ Peter Anthony turut dilantik memegang jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur yang bertanggungjawab untuk merancang dan menyediakan kemudahan infrastruktur dan awam di Negeri Sabah sebagai contoh Jabatan Kerja Raya sedangkan umum mengetahui Peter sebelum ini adalah seorang kontraktor kelas ‘A’ dan rakan karib kepada Shafie Apdal.

Sumber Foto; Blog Sensasi Media…

Tambahan, Peter Anthony turut terpalit dengan kes rasuah SPRM yang turut melibatkan Shafie Apdal berhubung projek KKLW bernilai 1.5 billion serta skandal melibatkan pengurusan jual beli tanah RISDA bernilai 15.5 juta yang mana sehingga kini deposit tersebut belum dikembalikan kepada RISDA.

Untuk rekod, Jabatan Air Negeri Sabah kini terletak di bawah kementerian yang diterajui oleh Peter Anthony.

Tulisan di atas adalah pandangan peribadi pengirim/pembaca dan tidak mencerminkan langsung pandangan daripada pihak Malaysia Kini 2.0…