Shafie Gesa Masyarakat Islam, Bukan Islam Perkukuh Perpaduan

Shafie Gesa Masyarakat Islam, Bukan Islam Perkukuh Perpaduan

0
SHARE
Shafie berucap pada majlis itu...

KOTA KINABALU, SABAH – Masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri ini harus memperkukuhkan perpaduan demi memastikan keharmonian terus terpelihara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertelingkahan dan perselisihan faham perlu dihentikan segera bagi membolehkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat membangunkan tamadun serta masa depan negeri yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga Parlimen Sepanggar, Tuaran dan Kota Kinabalu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.

“Saya mahu melihat agar umat Islam dan bukan Islam dapat dipadukan dan disatukan, bukannya bertelingkah antara satu dengan lain oleh kerana perbezaan amalan agama kita,” ujar beliau.

Shafie turut berjanji akan memegang sebaiknya amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat dengan memastikan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajuinya sentiasa berlandaskan kehendak dan keperluan rakyat.

Pada majlis itu, seramai 1,500 jemaah hadir memeriahkan majlis yang merupakan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Daerah Tuaran.

Selepas majlis berbuka puasa, Shafie dan isteri, Datin Shuryani Shuaib menyertai para tetamu kenamaan menunaikan solat maghrib yang diimamkan Imam Besar Masjid Bandaraya, Suhaidi Kuanting.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, wakil kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdul Rahman Mohammed Al-Harfi, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai serta menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah.