Sinar Baharu Buat Penduduk Pantai Timur Apabila Cadangan Projek ECRL Diteruskan Kerajaan...

Sinar Baharu Buat Penduduk Pantai Timur Apabila Cadangan Projek ECRL Diteruskan Kerajaan PH

0
SHARE
Sumber Foto; Amanah Daily

KUANTAN, PAHANG – Cadangan kerajaan pusat untuk meneruskan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pembinaannya pada Julai tahun memberikan kembali ‘sinar’ baharu kepada penduduk Pantai Timur yang selama ini mengharap satu sistem pengangkutan yang lebih baik dan sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu dan berharap pelaksanaan semula projek itu nanti akan mengambil kira pandangan dari negeri yang terlibat iaitu Pahang, Terengganu dan Kelatan.

“Semasa projek ini hendak dilaksanakan dalam skala besar sebelum ini, kerajaan terdahulu mengambil kira input dari tiga negeri yang berkenaan dan kali ini walaupun ia akan hanya dilaksanakan pada skala yang kecil, kita mengharapkan kerajaan pusat akan mengambil kira pandangan ketiga-tiga negeri ini untuk mendapatkan pulangan yang setimpal.

“Tidak kira kecil atau besar projek yang dilakukan itu, kita mahukan ia dapat memberikan impak kepada pembangunan Pantai Timur, khususnya Pahang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina, Isnin lalu bahawa projek ECRL yang sebelum ini dianggar menelan belanja RM81 billion mungkin akan diteruskan jika China bersetuju ia dilakukan dalam skala yang kecil.

Dr Mahathir dalam laporan itu berkata Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

Norol Azali berkata projek ECRL berkenaan bukan sahaja penting untuk pengangkutan awam penduduk Pantai Timur, namun dalam masa yang sama dapat melonjakkan lagi pelaburan di kawasan yang dilakukan termasuk kawasan perindustrian Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) Gebeng.

Projek ECRL yang melibatkan laluan sepanjang 688 kilometer menghubungkan antara Pelabuhan Klang sehingga Pangkalan Kubur diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 Ogos tahun lepas.

Projek pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China).

Sumber Foto; FMT

Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir membatalkan projek berkenaan kerana disifatkan tidak membawa sebarang keuntungan kepada negara sebaliknya menyebabkan Malaysia terikat hutang dengan China.

– BERNAMA