Sistem Tagal Di Ranau Mampu Tarik Ramai Pelancong Luar

Sistem Tagal Di Ranau Mampu Tarik Ramai Pelancong Luar

0
SHARE
Ewon (kedua dari kiri) bersama Ajis dan Amusin melepaskan benih ikan ke sungai Tahukad...

RANAU, SABAH – Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr Ewon Ebin, berkata sistem tagal yang dilaksanakan di Sungai Tohukad di kampung Mohimboyon, kira-kira 20 kilometer dari pekan di sini, mempunyai potensi sangat baik untuk menarik para pelancong berkunjung kerana ia terletak dekat dengan Taman-Taman Sabah dan Gunung Kinabalu.

Apa yang paling penting adalah kerjasama oleh semua penduduk kampung bagi menjayakan sistem itu.

“Semua peraturan dan hukuman yang telah digariskan dalam sistem Tagal itu haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama.

“Selain dapat melindungi hidupan sungai daripada ditangkap secara sewenang-wenangnya, sistem ini juga menjana pendapatan sampingan kepada semua penduduk melalui kedatangan pelancong,” katanya ketika merasmikan sistem tagal di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Beliau mengambil contoh sistem tagal di kampung Luanti yang kini mencatat pendapatan mencecah RM20,000 sebulan serta memberikan peluang perniagaan secara kecil-kecilan kepada penduduk sekitar melalui gerai-gerai jualan.

Sementara itu, menurut Pengerusi Tagal kampung berkenaan, Ajis Ruji, sistem Tagal yang dirasmikan oleh Ewon itu adalah cubaan terbaharu penduduk kampung berkenaan untuk memulihara hidupan di sungai berkenaan.

Menurut Ajis, kali ini usaha itu dibuat lebih sistematik dengan mendaftarkan Penagalan Sungai Tahukad kepada Jabatan Perikanan Ranau.

Katanya, sungai Tahukad yang merentasi kampung tersebut sejauh kira-kira 3 kilometer pernah ditagal oleh penduduk kampung sebelum ini namun tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana tidak diurus secara sistematik.

Selain penagalan tidak didaftarkan dengan Jabatan Perikanan, kedudukan sungai yang agak jauh dari perkampungan menyebabkan ia sukar dipantau.

“Kami berharap dengan adanya perasmian tagal pada kali ini serta pendedahan maklumat penting melalui ceramah yang diberikan pihak Jabatan Perikanan, sistem tagal ini akan berjaya malah mampu bersaing dengan sistem Tagal lain,” katanya.

Kejayaan Tagal ini nanti diharap akan menjadi rujukan generasi baru untuk mengenali nama-nama dan jenis-jenis hidupan sungai, mendidik tentang kebersihan persekitaran selain menggamit perhatian pelancong-pelancong untuk bertandang  ke kampung itu, tambahnya.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah pegawai khas parlimen Japirin Sahadi, Pengerusi Jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung Amusin Karim, pegawai-pegawai perhubungan parlimen, wakil jabatan perikanan serta pemimpin setempat.