Skuad Harimau Malaya Kalah Tipis 0-1 Kepada Vietnam Di Final Kedua Piala...

Skuad Harimau Malaya Kalah Tipis 0-1 Kepada Vietnam Di Final Kedua Piala AFF Suzuki 2018

0
SHARE

HANOI, VIETNAM – Skuad Harimau Malaya yang berhasrat untuk menjulang Piala AFF Suzuki tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, di sini, malam tadi.

Harapan Malaysia yang berjuang sepenuhnya untuk menamatkan kemarau 8 tahun menjulang Piala AFF Suzuki tersebut sejak pernah menjuarainya pada edisi 2010 lalu terpaksa akur dengan keputusan yang berpihak kepada skuad bola sepak Vietnam untuk muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2.

Skuad Naga Emas, Vietnam menjuarai Piala AFF Suzuki 2018…

Bermain di tempat lawan Vietnam merupakan misi sukar buat skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk mengejutkan Vietnam nampak sukar khususnya apabila skuad Naga Emas itu berjaya meraih keputusan seri 2-2 dalam final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa lepas.

Ia terbukti apabila Vietnam menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila meraih gol awal menerusi penyerang veteran, Nguyen Ahn Duc yang berjaya menyudahkan hantaran lintang Nguyen Quang Hay pada minit ke-6.

Pada aksi malam ini, skuad Harimau Malaya jelas memberikan saingan sengit kepada skuad Naga Emas yang mendapat sokongan padu lebih 40,000 penyokong setia mereka.

Walaupun skuad Harimau Malaya mempunya peluang terbaik melalui Muhammad Syahmi Safari yang hampir menyamakan kedudukan, namun  percubaannya di dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, Malaysia melancarkan serangan bertali arus dan Muhammad Safawi Rasid hampir menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-53, namun sepakan percumanya ditepis Van Lam.

Terdesak mencari gol penyamaan, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat tiga pertukaran pada pertengahan babak kedua perlawanan untuk memantapkan jentera serangan, namun ketangkasan Van Lam dan keampuhan benteng pertahanan Vietnam menyaksikan keputusan perlawanan tersebut kekal sehingga tiupan wisel oleh pengadil dari Iran, Alireza Faghani.