Skuad Hoki Malaysian Tigers, Kanada Berentap Rebut Kejuaraan Perlawanan Akhir Final Siri...

Skuad Hoki Malaysian Tigers, Kanada Berentap Rebut Kejuaraan Perlawanan Akhir Final Siri Hoki Dunia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Skuad Malaysia dan Kanada bakal berentap pada malam ini bagi merebut kejuaraan Perlawanan akhir Final Siri Hoki Dunia.

Ini selepas skuad Malaysia atau digelar Malaysian Tigers melakar kejayaan menang 3-1 ke atas Austria pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Malaysian Tigers yang bermula garang dan agresif berjaya membuka tirai ja­ringan menerusi ledakan cantik Faizal Saari menerusi pukulan sudut pe­nalti seawal minit ke-10.

Namun, skuad hoki Austria yang berada di kedudukan No. 19 dunia berjaya meledak gol pe­nyamaan menerusi Leon Thornblom pada minit ke-32.

Semangat juang anak bimbingan Roelant Oltmans yang berterusan membuahkan hasil apabila mendapat gol kedua menerusi Muhamad Marhan Mohd. Jalil pada minit ke-55.

Gol cantik daripada Meor Muhamad Azuan Hasan ketika aksi berbaki dua minit lagi untuk tamat mengesahkan kemena­ngan 3-1 buat skuad negara ke atas Austria.

Menurut sumber, peluang buat Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia dan Kanada yang menghuni ranking ke-10 dunia adalah seimbang untuk bergelar juara Perlawanan akhir Final Siri Hoki Dunia malam ini meskipun skuad Kanada dianggap memiliki sedikit kelebihan ranking berbanding tuan rumah.

Jika mengambil kira rekod pertemuan terbaru dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac lalu, Malaysia turut berpeluang cerah untuk memenangi kejuaraan di laman sendiri.

Ia susulan skuad bimbingan Roelant Oltmans dua kali mengatasi Kanada di Ipoh masing-masing dengan keputusan 4-2 dalam aksi peringkat kumpulan dan 3-2 ketika penentuan tempat ketiga.

Bagaimanapun, Oltmans enggan anak buahnya dibuai dengan rekod pertemuan lampau itu apatah lagi dia menjangkakan Kanada akan tampil dengan pendekatan berbeza pada malam ini.

“Kami pernah menentang Kanada sebelum ini di Piala Sultan Azlan Shah 2019 dengan menyaksikan kami berjaya mengalahkan mereka sebanyak dua kali,” kata Oltmans.

“Namun, saya percaya saingan lebih sukar akan menanti kami kali ini berikutan Kanada akan menggunakan taktikal berbeza selain faktor kehadiran semula kapten mereka Scott Tupper.”

Kejayaan ke final membolehkan Malaysia meraih salah satu daripada dua slot yang ditawarkan pada kejohanan ini untuk ber­aksi pada pusingan kelayakan akhir ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.