DAMSYIK, SYRIA – Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya hampir 11 pejuang pro-Presiden Bashar Al-Assad terbunuh selepas Israel mengebom beberapa sasaran di Syria malam semalam.
Tentera Israel berkata, pihaknya menyasarkan sebilangan kemudahan tentera Iran di negara itu awal semalam, beberapa jam selepas Rejim Zionis memintas sebuah roket yang ditembak dari wilayah Syria.
Menurut SOHR yang dipetik daripada AFP, serangan ke atas Syria tersebut adalah yang paling buruk sejak Mei tahun lalu.
“Serangan Israel yang menyasarkan kedudukan tentera Syria dan Iran berdekatan dan di selatan Damsyik telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 pejuang termasuk dua rakyat tempatan,” kata Pengerusi SOHR, Rami Abdel Rahman.
“Sasaran yang dibedil termasuk depot senjata milik pergerakan Syiah, Hizbollah dan pejuang Iran,” tambahnya.
Menurut SOHR lagi, serangan udara dan bedilan peluru berpandu darat ke darat mengenai beberapa sasaran lain di sekitar Damsyik termasuk berhampiran lapangan terbang di ibu kota Syria tersebut.
Israel sebelum ini berikrar akan menghalang musuh utamanya, Iran daripada membina kekuatan tentera di Syria.Pada Mei 2018, serangan Israel mengorbankan 27 pejuang pro-Bashar termasuk 11 rakyat Iran.