SOSMA Tidak Sekejam ISA -Dr Salleh

SOSMA Tidak Sekejam ISA -Dr Salleh

0
SHARE

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan oleh kerajaan satu tindakan tidak demokratik.

“Ada pihak yang mendakwa pemerintahan sekarang tidak demokratik dan bagi membuktikan dakwaan ini, maka Akta SOSMA, POTA, dan MKN digunakan sebagai bukti negara ini tidak demokratik,” memetik kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Salleh Dr Tun Said Keruak melalui blog Salleh Said Keruak pada 12 Julai yang lalu.

Dr Salleh turut medakwa akta ini telah diputar belit. Ini kerana akta-akta di atas adalah akta pencegahan yang memenuhi peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bertujuan untuk mengawal keselamatan rakyat dan negara.

“Akta sebegini adalah hard power yang digunakan oleh semua negara di dunia ini, baik itu negara demokratik atau negara komunis”.

“Dahulu akta pencegahan ini kerap digunakan. Misalnya, ISA digunakan dalam tragedi Memali pada tahun 1985, digunakan untuk menahan pemimpin pembangkang dan akitivis NGO dalam Operasi Lalang pada tahun 1987, dan digunakan untuk menyekat cabaran Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan negara pada tahun 1998”.

Menurut Dr Salleh lagi “bezanya ialah dahulu akta ini digunakan untuk mengekalkan kuasa kepimpinan pemerintah, tetapi sekarang ini, akta pencegahan ini digunakan untuk mengawal keselamatan negara”.

“SOSMA masih membenarkan andaian ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, dan boleh dicabar di mahkamah, bukannya seperti ISA yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara”.

Seterusnya menurut Dr Salleh lagi “SOSMA tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya seperti mana ISA. Pada 20 Mei 2013, Mahkamah Tinggi telah memutuskan dalam kes penahanan Yazid Sufaat, Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim bahawa Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai bagi tindakan ancaman keselamatan di Malaysia”.

“Jelasnya SOSMA itu bukan ISA. Pertanyaannya, apakah pemerintah dahulu yang menahan lawan politiknya di bawah ISA itu demokratik, manakala kerajaan sekarang yang menghapuskan ISA sebagai tidak demokratik? “

“Kita perlu bersikap adil dalam menilai hal ini. Ini kerana kerajaan pada hari ini lebih demokratik dalam menjalankan tanggunjawabnya untuk negara” memetik kenyataan Dr Salleh Said Keruak.